Isu beralih sokongan: Berlapang dada terima cadangan 'orang luar'

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

ISU empat ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian pelbagai pihak.

Malah pelbagai kenyataan, teori dan dakwaan mengenai perkara itu diperkatakan ahli politik, termasuk badan pemikir seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Memandangkan keempat-empat ahli Parlimen pembangkang itu menyatakan punca beralih sokongan disebabkan demi kepentingan pengundi dan pembangunan kawasan masing-masing, pelbagai cadangan diberikan bagi mengelak lebih banyak ruang untuk politik wang dan menampakkan kelompongan peruntukan antilompat parti.

Bersih mencadangkan tiga pilihan untuk menangani isu lompat parti antaranya mempertimbangkan pelaksanaan 'pilihan raya pecat' dikenakan kepada mereka yang menukar kesetiaan tanpa meninggalkan parti.

Selain itu turut dicadangkan untuk mempertimbang pelaksanaan sistem perwakilan berkadaran (PR) secara penuh atau separa sebagai sistem pilihan raya baharu atau sistem campuran.

IDEAS menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh pula menyarankan kerajaan memuktamadkan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) untuk menstabilkan politik selain menyamaratakan peluang antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Cadangan tersebut dilihat logik berikutan punca utama ahli Parlimen mengalih sokongan kerana tiada peruntukan untuk membangunkan kawasan mereka.

Secara tidak langsung situasi tersebut menyaksikan penghakisan berterusan proses demokrasi ekoran wujud dakwaan mereka yang mengalih sokongan dijamin menerima pembiayaan daripada Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan perlu berlapang dada menerima cadangan dan saranan daripada pihak luar.

Laksanakan langkah terbaik, berilah sama rata kepada semua ahli Parlimen agar rakyat tidak kira di mana sahaja terima tempis kemakmurannya.

Jangan kerana tidak sealiran, rakyat pula menjadi mangsa kerana kawasan tidak membangun dan ketinggalan berbanding tempat wakil rakyat lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!