Sera Santan Kelapa bakal jadi pilihan utama pengguna

A
A
A

Pemilik Syarikat ZNZ Alpha, Muhammad Hisyam Md Yunus menunjukkan produk jenama Sera Santan Kelapa yang mula dipasarkan di Malaysia pada September lalu.
Pemilik Syarikat ZNZ Alpha, Muhammad Hisyam Md Yunus menunjukkan produk jenama Sera Santan Kelapa yang mula dipasarkan di Malaysia pada September lalu.

PETALING JAYA - Sera Santan Kelapa merupakan produk jenama baharu yang berjaya menembusi pasaran santan kotak di Malaysia sejak September lalu.

Produk yang diusahakan oleh syarikat ZNZ Alpha Laval Sdn Bhd (ZNZ Alpha) atas inisiatif menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan pihak swasta bersama-sama meningkatkan bekalan makanan dalam negara bertujuan menangani isu sekuriti makanan terutamanya produk berasaskan kelapa.

Pemilik Syarikat ZNZ Alpha, Muhammad Hisyam Md Yunus berkata, sebelum melibatkan diri dalam bidang berkenaan, beliau merupakan seorang penasihat undang-undang yang aktif dalam pelbagai industri termasuk industri runcit Malaysia.

“Tahun lalu, saya dan beberapa orang wakil industri peruncitan Malaysia telah menerima undangan untuk menghadiri suatu acara antarabangsa, Pameran Gulfood di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kami menggunakan kesempatan yang ada itu untuk mencari industri khusus dalam pembuatan produk santan.

“Berdasarkan maklumat dan data yang diperolehi, terdapat dua negara yang menghasilkan produk santan terbesar di dunia iaitu Indonesia dan juga Sri Lanka. Kemudian, kami menerima satu lagi jemputan daripada konglomerat industri penghasilan produk makanan Sri Lanka untuk melawat kilang-kilang mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

MUHAMMAD HISYAM
MUHAMMAD HISYAM

Tambahnya, beliau sungguh teruja apabila melihat kilang-kilang oleh konglomerat berkenaan iaitu CBL Group (Ceylon Biscuits Limited (CBL) dan CBL Natural Foods) yang bertempat di Colombo dan Alawwa yang memegang 65 peratus bahagian pasaran di Sri Lanka.

Justeru katanya, bermula daripada itulah beliau yakin untuk menceburi bidang pembekalan produk makanan seperti produk berasaskan kelapa ini.

Keyakinan

Menurut Muhammad Hisyam, beliau yakin sekiranya produk santan yang dihasilkan di kilang konglomerat berkenaan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana setanding dengan kualiti produk tempatan.

Pada masa sama, pihak konglomerat tersebut menyatakan bahawa mereka turut memiliki sijil produk organik yang menyatakan bahawa produk yang dihasilkan adalah menggunakan bahan berasaskan organik.

“Melihat kepada teknologi yang digunakan oleh kilang berkenaan, pihak kami yakin dengan kualiti produk yang dihasilkan ini. Lebih meyakinkan apabila santan yang diekstrak itu adalah daripada buah kelapa yang berkualiti.

“Jika ingin dibandingkan dengan produk santan kotak yang lain, Sera Santan Kelapa ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Santan kotak ini mendapat pengiktirafan sijil bahan organik. Keenakan aroma kelapa yang dihasilkan bakal membuatkan masakan yang dimasak mempunyai aroma yang lazat serta menyelerakan. Tiada apa-apa penambahan bahan pewangi di dalam santan tersebut sebaliknya bau itu dihasilkan secara semula jadi,” jelas beliau.

Cabaran

Dalam pada itu, Muhammad Hisyam turut berkongsi cabaran yang dihadapinya ketika mula-mula menceburi industri perniagaan pembekalan produk makanan.

Katanya, pelbagai rintangan telah beliau hadapi antaranya kerenah birokrasi yang mementingkan aspek keseragaman produk keluaran Malaysia.

Muhammad Hisyam menunjukkan produk-produk selain santan kelapa yang dikeluarkan oleh syarikatnya.
Muhammad Hisyam menunjukkan produk-produk selain santan kelapa yang dikeluarkan oleh syarikatnya.

“Bagaimanapun, saya tidak merasakan cabaran yang dihadapi sebagai satu asbab mematahkan semangat. Sebaliknya, ia membentuk diri saya berusaha lebih kuat untuk menjadi usahawan berjaya.

“Alhamdulillah, setelah dua bulan melalui proses permohonan dokumen seperti sijil halal dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akhirnya kita berjaya untuk membawa masuk produk santan kotak yang dikilangkan di Sri Lanka ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak Sera Santan Kelapa mulai dijual di pasaran Malaysia pada September lalu, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan rata-rata pengguna memberi maklum balas positif.

Tambah beliau, setelah dua bulan berada di pasaran, kini jenama berkenaan sedang berada di peringkat penilaian untuk dijual di pasar raya seperti 99 Speedmart dan KK Mart.

“Alhamdulillah, ZNZ Alpha mengharapkan Sera Santan Kelapa dapat dipasarkan dengan lebih meluas termasuk di kedai-kedai runcit.

“Melihat kepada sambutan ini, kami bercadang untuk mengeluarkan santan mengikut variasi berat kandungan antaranya 200ml, 330ml, 500ml dan satu kilogram (kg),” ujarnya.