Cadangan terperinci Dasar Gaji Progresif dibentang 30 November ini

Cadangan terperinci Dasar Gaji Progresif yang akan dibentangkan pada 30 November ini terbuka untuk diteliti supaya pelaksanaannya mencapai sasaran meningkatkan gaji pekerja. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rafizi)
Cadangan terperinci Dasar Gaji Progresif yang akan dibentangkan pada 30 November ini terbuka untuk diteliti supaya pelaksanaannya mencapai sasaran meningkatkan gaji pekerja. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rafizi)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif yang telah digariskan sebagai usaha mencapai nisbah gaji pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 45 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Justeru, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cadangan terperinci Dasar Gaji Progresif yang akan dibentangkan pada 30 November ini terbuka untuk diteliti supaya pelaksanaannya mencapai sasaran meningkatkan gaji pekerja.

"Hasrat utama kerajaan ialah untuk mewujudkan pasaran bakat yang lebih rancak iaitu memastikan majikan menawarkan gaji mengikut penetapan gaji progresif berdasarkan sektor.

"Jika majikan membayar lebih rendah, mereka menghadapi kesukaran mendapat bakat yang diperlukan dalam perniagaan.

"Bagi pihak pekerja apabila menjadi penerima gaji progresif, mereka perlu mematuhi syarat-syarat latihan dan penambahbaikan kemahiran yang akan diterjemahkan kepada tenaga kerja lebih bermutu dan produktiviti lebih tinggi," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Beliau menjelaskan, ia merupakan prasyarat untuk negara meningkatkan kandungan ekonomi bernilai tinggi dengan menambah kompleksiti dalam ekonomi negara.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan kenaikan gaji tahunan bagi setiap sektor dan kategori pekerjaan seiring pelaksanaan dasar berkenaan.

Hanya majikan yang membayar gaji berdasarkan garis panduan itu layak menyertai dasar berkenaan, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan berteraskan insentif yang akan diperkenalkan kerajaan kelak.

Artikel Berkaitan: