Wanita ditahan larikan basikal, barang elektrik milik kekasih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan perkakas elektrik serta sebuah basikal milik teman lelakinya di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana di sini pada 16 September lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 54 tahun.

"Pengadu mendakwa beberapa barang telah hilang, dia mengesyaki teman wanitanya telah membawa keluar barang itu tanpa kebenaran.

"Pengadu telah menghubungi teman wanitanya dan suspek mengaku telah mengambil barang berkenaan serta enggan untuk memulangkan semula, jumlah kerugian dianggarkan RM3,000,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, suspek berusia 37 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan itu berjaya ditahan di Ibu kota pada jam 1 pagi, Selasa.

“Kita telah merampas kembali beberapa barang kes iaitu sejumlah perkakasan elektrik rumah dan sebuah basikal," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara pengadu dan suspek apabila wanita itu mengajak kekasihnya berkahwin.

“Suspek kemudiannya bertindak keluar dari rumah serta membawa bersama barang milik pengadu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!