Kemalangan konvoi libatkan Beto Kusyairy akibat jalan licin

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TAPAH - Kemalangan melibatkan empat penunggang motosikal termasuk pelakon, Beto Kusyairy di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara-Selatan pada Isnin dipercayai akibat jalan licin ketika hujan.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu melibatkan konvoi 60 motosikal Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) ASEAN ke Masjid Negeri Perak di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, kemalangan itu turut melibatkan lima peserta konvoi skuter jenis Yamaha XMax yang dalam perjalanan dari Sepang, Selangor ke Gurun, Kedah.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, empat motosikal iaitu dua skuter dan dua motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson mengalami kerosakan.

"Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan di Hospital Tapah mendapati lelaki berusia 43 tahun yang menunggang skuter dan Harley Davidson berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah.

"Seorang lagi penunggang Harley Davidson berusia 43 tahun cedera ringan, manakala penunggang skuter berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohd Naim berkata, kemalangan itu dipercayai permukaan jalan raya yang licin kerana hujan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faizan Ahmad@Mohammed Razikin di talian 013-2087919 untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan Beto Kusyairy mengalami kecederaan ringan selepas terlibat kemalangan yang turut melibatkan seorang lagi peserta konvoi berkenaan.

Lagenda rock tanah air, Datuk Awie yang mengetuai konvoi tersebut mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.