Kuasa media dunia tolak penindasan terhadap Palestin - Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Media sosial menjadi medium utama rakyat dunia untuk menyampaikan maklumat dan keadaan semasa yang berlaku kepada penduduk Palestin.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kesan daripada perkembangan tersebut, isu pencerobohan Israel di bumi Palestin mendapat perhatian dunia sehingga wujud suara dunia menolak penindasan dan kezaliman berkenaan.

“Ribuan rakyat United Kingdom (UK) keluar berarak di Kota London semalam (Sabtu) dengan perlindungan dan kawalan pihak keselamatan yang berbeza pendirian dengan Perdana Menteri, Rishi Sunak mendesak membatalkan perarakan itu.

“Amerika Syarikat (AS) juga tidak bersama Joe Biden sebagai Perdana Menteri kerana rakyat mula mengecam bantuan kewangan yang diluluskan Senat untuk Zionis membunuh anak kecil Palestin.

“Mereka mempopularkan slogan ‘bukan atas nama saya’ bagi menolak pendirian kerajaan AS menyokong negara haram itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah beliau, Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga terpaksa mengubah prinsip untuk bersama rakyat mendesak gencatan senjata di Palestin.

Menurutnya, pendirian rakyat dan pemimpin negara Islam senada mengecam tindakan itu meskipun sebelum ini ada negara Arab yang mendukung normalisasi dengan negara haram hasil perjanjian Oslo pada 1992.

“Perjuangan rakyat Palestin disokong oleh kuasa besar Rusia dan China yang berterusan melobi gencatan senjata serta bantuan kemanusiaan untuk negara itu.

Artikel Berkaitan:

“Meskipun kita faham Rusia seolah-olah memulangkan paku buah keras kepada negara Barat menerusi NATO yang mengecam negara itu dalam perang Rusia-Ukraine, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi pencabar kepada AS,” ujarnya.

Sidang Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Sabtu di Arab Saudi sebulat suara mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuktamadkan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menyekat sebarang tindakan negara haram itu yang melanggar undang-undang antarabangsa.