DPMM Pahang kemuka dua isu

Yusri (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Hamdan agar dua isu yang dibangkitkan mendapat pertimbangan pihak MPK dengan mengambil kira kepentingan peniaga khususnya usahawan Melayu.
Yusri (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Hamdan agar dua isu yang dibangkitkan mendapat pertimbangan pihak MPK dengan mengambil kira kepentingan peniaga khususnya usahawan Melayu.
A
A
A

KUANTAN - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang menggesa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mempertimbangkan semula penarikan diskaun 75 peratus kadar permit papan tanda premis perniagaan berlampu yang akan dimansuhkan sepenuhnya berkuat kuasa Januari tahun depan.

Gesaan juga dibuat agar kenaikan kadar caj bagi lesen premis perniagaan sebanyak 15 peratus daripada kadar asal dikurangkan agar tidak terlalu membebankan peniaga terutama usahawan Melayu.

Yang Dipertua DPMM Pahang, Yusri Yusof berkata, pihaknya menyambut baik langkah diambil pihak MPK dalam isu keceriaan dan pencahayaan bandar Kuantan pada waktu malam seiring dengan status Kuantan yang akan dinaik taraf sebagai bandar raya tahun depan.

Menurutnya, MPK bagaimanapun diminta agar mengkaji semula pemansuhan kadar diskaun 75 peratus bagi permit papan tanda berlampu dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang tidak menentu dan beban yang terpaksa ditanggung peniaga.

"Kita sedia maklum inisiatif ini asalnya bagi memberi kemudahan kepada peniaga untuk mempamerkan iklan berlampu bagi menceriakan premis masing-masing selain menjadi tarikan kepada pelanggan.

"Justeru DPMM Pahang berharap agar inisiatif itu terus dikekalkan dan bersetuju sekiranya tindakan penguatkuasaan termasuk dikeluarkan kompaun dan membatalkan diskaun itu kepada peniaga yang melanggar peraturan serta syarat-syarat yang ditetapkan berkaitan perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Yusri berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin, Selasa lalu agar perkara itu dipertimbangkan dengan mengambil kira kepentingan peniaga.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan mengelak peniaga yang selama ini mematuhi syarat ditetapkan turut tidak menyalakan papan tanda premis jika inisiatif itu dimansuhkan selain kebimbangan berlakunya gejala sosial dan jenayah ekoran keadaan yang gelap di kawasan premis perniagaan di bandar Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, DPMM Pahang juga menyambut baik usaha MPK menaikkan kadar lesen perniagaan namun berharap kadar 15 peratus yang ditetapkan dikurangkan kepada lima peratus supaya tidak membebankan peniaga.

"Sebagai wadah perjuangan usahawan Melayu di negeri ini, DPMM Pahang amat berharap agar MPK meneliti dan mempertimbangkan berhubung perkara ini.

"Kami di DPMM Pahang akan memastikan semua ahli mematuhi sebarang syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak majlis," katanya.