PRK Kemaman: Jangan pertikai calon diputuskan parti - Ahmad Maslan

Ahmad (duduk: dua dari kanan) hadir pada Majlis Sambutan Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Jhol (kanan) pada Ahad.
Ahmad (duduk: dua dari kanan) hadir pada Majlis Sambutan Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Jhol (kanan) pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Semua ahli UMNO diingatkan supaya akur dan berlapang dada menerima sesiapa sahaja yang diputuskan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ahli parti seharusnya meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Tidak kira siapa calon yang diputuskan pucuk pimpinan, ia perlu terima tanpa pertikai keputusan kerana itu adalah syarat utama kemenangan parti. Calon yang dipilih sudah diselidiki kelayakannnya.

"Kita boleh kalah, jika pertikai dan tidak setuju dengan calon. Begitu juga jika ada budaya 'cah keting' dan sabotaj, kita tidak akan menang PRK Kemaman," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada Majlis Sambutan Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Jhol di sini, pada Ahad.

Pada Sabtu, UMNO tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kaedah calon langsung (direct candidate) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah calon langsung tanpa melihat hierarki jawatan individu tersebut dalam parti pernah dilakukan ketika memilih calon bertanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Kewangan I berkata, tidak mustahil BN mampu membuat kejutan memenangi PRK Kemaman jika semua ahli parti saling berganding bahu dan tidak mensabotaj calon diputuskan.

Artikel Berkaitan:

"Memang diakui BN kalah 27,000 undi di Kemaman sebelum ini, namun tidak mustahil jika kita bekerja keras mencari 14,000 lagi undi baharu menyokong BN nanti, kita boleh membuat kejutan," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata 15 bahagian daripada keseluruhan 26 bahagian UMNO di negeri ini akan dihantar ke PRK Kemaman bagi membantu kelancaran jentera pilihan raya.

"Saya dilantik menjadi ketua penyeleras bagi Johor pada PRK Kemaman. UMNO Johor akan hantar 15 bahagian untuk menjadi bapa angkat kepada 15 cawangan di Bahagian Kemaman.

"UMNO Johor akan berkampung di kawasan cawangan yang telah ditetapkan untuk menbantu jentera pilihan raya di sana," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Said (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

PRK Kemaman akan diadakan 2 Disember ini selepas Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!