Kerajaan peruntuk RM5 juta bantu warga Felda terjejas banjir

Ahmad Shabery menyerahkan kit kesiapsiagaan banjir kepada setiap Pengurus Besar Felda Wilayah sempena majlis pelancaran program Felda Siap Siaga 2023 di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.
Ahmad Shabery menyerahkan kit kesiapsiagaan banjir kepada setiap Pengurus Besar Felda Wilayah sempena majlis pelancaran program Felda Siap Siaga 2023 di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memperuntukkan RM5 juta sebagai langkah melaksanakan usaha bersepadu membantu warga peneroka yang terkesan dengan bencana banjir pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, inisiatif dibawah program Felda Siap Siaga 2023 meliputi cadangan menaik taraf 80 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung sehingga 27,000 mangsa di 26 kawasan rancangan berisiko tinggi dilanda banjir.

"Kerja menaik taraf ini penting bagi memberi keselesaan kepada warga peneroka yang terlibat dengan musibah banjir sepanjang tempoh pemindahan.

"Kerja-kerja yang dijalankan termasuk pembaikan paip, pemasangan tangki air tambahan, sewaan genset serta kerja-kerja pembersihan am,"katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Felda Siap Siaga 2023 di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di sini pada Sabtu.

Ahmad Shabery menyempurnakan pelepasan konvoi Felda Siap Siaga 2023 sempena majlis pelancaran program itu di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.
Ahmad Shabery menyempurnakan pelepasan konvoi Felda Siap Siaga 2023 sempena majlis pelancaran program itu di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.

Ahmad Shabery berkata, Felda komited dalam usaha menjaga kebajikan warga peneroka termasuk ketika menghadapi bencana banjir dan pelancaran Felda Siap Siaga 2023 menjadi manifestasi komitmen tersebut.

Jelas beliau, sebanyak 11 bilik gerakan banjir juga ditubuhkan di semua wilayah Felda seluruh negara di samping menyediakan 2,000 unit kit kesiapsiagaan banjir yang meliputi kit sebelum, semasa dan selepas banjir.

"Kit sebelum merangkumi beg kalis air 10 liter, lampu suluh pelbagai guna, selipar getah serta risalah talian penting dan panduan keselamatan menghadapi banjir.

Artikel Berkaitan:

"Kit semasa pula merangkumi beg, air mineral, air kotak, biskut dan roti, barangan asas kebersihan diri, selimut, bantal dan pek sedia makan menggunakan teknologi retort," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti 60 kawasan rancangan yang berisiko dilanda banjir kali ini dengan 26 di antaranya termasuk dalam kategori kerap dilanda bencana itu.

Ahmad Shabery meninjau ruang kanak-kanak di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.
Ahmad Shabery meninjau ruang kanak-kanak di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor di Kemaman.

Ujar beliau, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan, Felda turut menyediakan latihan kepada petugas sukarelawan terdiri daripada Jawatankuasa Banjir Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah dan Rancangan, pengurus-pengurus rancangan, petugas rancangan serta badan bukan kerajaan (NGO) Felda di kawasan rancangan.

Katanya, latihan diberikan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Apa yang perlu diberi perhatian ialah apabila tiba musim tengkujuh, ia (bantuan menyelamat) perlu digerakkan dengan keperluan kepada koordinasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan sebelum ini meramalkan Monsun Timur Laut berlaku bermula pada 11 November ini dan berterusan sehingga Mac 2024 melibatkan empat hingga enam episod hujan lebat.