PM gesa OIC desak gencatan senjata dilaksana serta-merta

Anwar berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan di Riyadh, Arab Saudi hari ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan di Riyadh, Arab Saudi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

RIYADH - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Bercakap pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin, beliau berkata, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung sehari itu.

"Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.

"Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata Perdana Menteri di sini hari ini.

Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Menyentuh penyingkiran paksa orang awam di Palestin, Perdana Menteri mahu tindakan itu dihentikan serta-merta.

Beliau juga menggesa negara anggota OIC memerangi habis-habisan peningkatan global dalam Islamofobia dan pada masa yang sama, melindungi hak untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin secara aman.

Anwar berkata, selama lebih sebulan, penduduk Gaza yang terkepung telah menjadi mangsa kekejaman tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel yang menyasarkan lelaki, wanita dan kanak-kanak secara sembarangan.

Artikel Berkaitan:

"Gaza telah menjadi kubur untuk mereka yang tidak bersalah dan golongan syahid, kebanyakannya kanak-kanak Palestin. Tiada kediaman, hospital ataupun rumah ibadat sama ada Islam atau Kristian, selamat daripada serangan yang dilakukan secara sembarangan oleh Israel," katanya.

Beliau berkata, kesinambungan politik yang merampas hak rakyat Palestin bukanlah dilakukan secara senyap-senyap sebaliknya ia dapat disaksikan oleh seluruh dunia dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

"Kelas politik negara-negara barat ketika ini mempamerkan sikap rabun jauh terpilih dalam krisis di Palestin," katanya.

Anwar berkata, perubahan besar mengenai perkara itu telah berlaku sebagaimana ditunjukkan dalam demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia yang belum pernah terjadi sebelum ini termasuk di negara barat, untuk menyokong Palestin.

"Ironinya, di kesemua ibu kota ini yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan meletakkan hak asasi manusia sebagai sesuatu yang suci, sesetengah pihak berkuasa telah mengecam pihak yang menyokong perjuangan Palestin serta menyifatkan mereka sebagai penyebar ucapan berbaur kebencian dan penyokong keganasan.

"Ini adalah dwistandard songsang," kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata, beliau memuji inisiatif Kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan sidang kemuncak tergempar itu.

"Dan saya memuji Tuanku kerana memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin dan kecaman Tuanku terhadap penjajahan serta kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir Fattah El-Sisi kerana memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan," katanya. - Bernama.