Ops Ihsan: Bantuan kemanusiaan kedua tiba di Mesir

Kerja-kerja memuatkan barang bantuan kemanusiaan ke dalam pesawat kargo sewaan khas semasa penghantaran kedua barangan keperluan utama untuk rakyat Palestin di Gaza di Terminal Kargo KLIA malam Jumaat. - Foto Bernama
Kerja-kerja memuatkan barang bantuan kemanusiaan ke dalam pesawat kargo sewaan khas semasa penghantaran kedua barangan keperluan utama untuk rakyat Palestin di Gaza di Terminal Kargo KLIA malam Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bantuan kemanusiaan Ops Ihsan peringkat kedua untuk rakyat Palestin yang dihantar menerusi pesawat kargo khas kira-kira jam 11 malam tadi, selamat tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada jam 8.20 pagi waktu tempatan (2.20 petang waktu Malaysia).

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari yang juga Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, membawa 20 tan barangan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

"Penghantaran terkini itu menjadikan sejumlah 40 tan barangan sumbangan daripada rakyat Malaysia kini berada di Mesir dan bersedia untuk segera diagihkan kepada rakyat Palestin yang ketika ini hidup dalam kesengsaraan akibat konflik Palestin-Israel.

"Barangan bantuan kemanusiaan seberat 40 tan itu adalah sejumlah daripada 50 tan barangan bernilai RM7 juta yang disumbangkan menerusi Ops Ihsan merangkumi barangan keperluan utama antaranya ubat-ubatan, makanan, keperluan bayi serta selimut,” katanya kepada Bernama menerusi ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, bantuan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir selaku agensi pelaksana tunggal menyalurkan bantuan ke Gaza bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Menurutnya, penghantaran bantuan pertama pada 3 Nov lalu, juga sebanyak 20 tan, dilaporkan telah melepasi sempadan Rafah dan memasuki Gaza berdasarkan laporan statistik kemasukan bantuan ke Gaza daripada kluster Logistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan PPBSM Mesir.

"Insya-ALLAH, berdasarkan maklum balas daripada PBSM Mesir, barangan melalui penerbangan kedua akan sampai kepada penduduk Gaza dalam tempoh kurang seminggu," katanya.

Berkongsi perkembangan Ops Ihsan, Jismi berkata, baki 10 tan dan tambahan 14 tan barangan yang dijangka dapat dikumpul daripada kempen yang masih berjalan, akan dihantar dalam masa terdekat menggunakan kapal kontena memandangkan ia melibatkan barangan yang tidak sesuai dihantar menerusi pesawat.

Beliau berkata, ia termasuk generator, bateri, lampu solar mudah alih serta khemah.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, Ops Ihsan terus menerima komitmen daripada pelbagai pihak, kementerian, organisasi dan syarikat. Kami mengalu-alukan sekiranya ada organisasi yang berminat untuk menyumbang kos penghantaran barangan berkenaan khususnya melalui perjalanan laut," katanya.

Selain itu, Jismi berkata Sekretariat Ops Ihsan kini sedang dalam peringkat akhir kempen kedua bagi pengumpulan barangan melibatkan perubatan dan keperluan untuk musim sejuk.

Ops Ihsan diselaraskan oleh Kementerian Luar, diketuai MAHAR bersama lebih 50 NGO lain termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Sementara itu, Jismi berkata, perancangan Ops Ihsan seterusnya adalah mewujudkan Hab Kemanusiaan Rakyat Malaysia (MHH) di Mesir yang berperanan sebagai pusat sehenti dan gunasama untuk menguruskan penyaluran bantuan kemanusiaan dari Malaysia khususnya dari NGO dengan lebih berkesan dan kos efektif.

Beliau berkata, MHH akan membawa mandat utama melibatkan koordinasi dengan PBSM Mesir, pembelian barangan asas makanan seperti tepung, minyak zaitun, pes tomato serta air minuman sementara menunggu penghantaran barangan kemanusiaan dari Malaysia melalui kontena ke Pelabuhan Said, Mesir.

"MHH juga akan berbincang dengan pihak berkuasa Mesir bagi membantu Pusat Kesihatan mereka dalam memberi perkhidmatan perubatan kepada penduduk Gaza selain urusan bantuan sokongan kepada ‘first responder’, " katanya.

Jismi berkata orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini serta penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza dengan melayari Facebook Ops Ihsan. - Bernama