Pesat mahu orang ramai sumbang dana bantu golongan memerlukan

Pemenang keseluruhan bagi Kategori Gross, Ahmad Marzuki Kamarulzaman, 52 di Kejohanan Golf Amal Pesat 2023.
Pemenang keseluruhan bagi Kategori Gross, Ahmad Marzuki Kamarulzaman, 52 di Kejohanan Golf Amal Pesat 2023.
A
A
A

NILAI - Buat julung kalinya, Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) mengadakan Kejohanan Golf Amal 2023 bagi menarik lebih ramai pihak menyalurkan sumbangan dana dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Presidennya, Rosliza Akma Zakaria berkata, penganjuran itu juga bertujuan mengeratkan hubungan interaksi antara kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu dan negeri lain.

"Sumbangan dana terkumpul akan digunakan untuk membantu ahli Pesat yang memerlukan, mangsa banjir, golongan asnaf dan program kembali ke sekolah.

"Bagaimanapun, kutipan dana tidak tertumpu kepada rakyat Terengganu sahaja, sebaliknya turut melibatkan seluruh Malaysia. Jadi semua orang boleh menyumbang," katanya selepas Kejohanan Golf Amal 2023 pada Sabtu.

Barisan penaja yang menerima sijil penghargaan oleh Pesat.
Barisan penaja yang menerima sijil penghargaan oleh Pesat.

Kejohanan Amal Pesat yang diadakan di Kelab Golf dan Desa Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri seramai 144 peserta.

Tambah Rosliza Akma, orang ramai boleh menyumbang ke akaun bank rasmi Tabung Prihatin Pesat di Maybank (562759701463) dan layari portal rasmi persatuan tersebut untuk maklumat lanjut.

"Saya menyeru supaya lebih ramai anak Terengganu untuk sama-sama menjadi keluarga besar Pesat dengan mendaftar sebagai ahli bagi membina rangkaian lebih besar.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi rangkaian yang terjalin, ia akan memudahkan lagi perolehan dana dikumpul lebih cepat dan dapat disumbangkan kepada golongan yang memerlukan khususnya rakyat Terengganu," jelasnya.

Tengku Farok Hussin (kiri) merasmikan Kejohanan Golf Amal 2023.
Tengku Farok Hussin (kiri) merasmikan Kejohanan Golf Amal 2023.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga melancarkan dua portal persatuan bagi memudahkan semua pihak mendapatkan maklumat mengenai persatuan berkenaan.

"Portal yang pertama iaitu Pesat Info akan memaparkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kami, ahli, anak-anak Terengganu dan orang awam boleh melihat insentif yang diberikan oleh kerajaan Terengganu.

"Kedua, portal Usahawan Pesat.com turut diperkenalkan sebagai platform untuk direktori senarai usahawan-usahawan kecil yang berada dalam dan luar Terengganu serta negara sekali gus membantu tingkatkan hasil jualan mereka," ujarnya.

Sebahagian peserta yang menyertai Kejohanan Golf Amal Pesat 2023 anjuran Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) di Kelab Golf dan Desa Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Sebahagian peserta yang menyertai Kejohanan Golf Amal Pesat 2023 anjuran Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) di Kelab Golf dan Desa Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak berkepentingan yang terlibat antaranya penaja, penyumbang kejohanan dan ahli jawatan kuasa Pesat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!