Deepavali: Rancang perjalanan, utamakan keselamatan - KPN

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan merancang perjalanan dan keselamatan ketika pulang ke kampung atau bercuti di mana-mana destinasi sempena sambutan perayaan Deepavali.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lakukan persediaan sebaiknya dari segi perjalanan dan keselamatan tempat tinggal sebelum meninggalkan kediaman.

"Pastikan kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dan terkawal terlebih dahulu.

"Rancang perjalanan sebaiknya dan masa sama ikuti peraturan dan keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan sempena Hari Deepavali 2023 menerusi halaman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Mengulas mengenai Deepavali kali ini, Razarudin berkata, kedatangan perayaan disambut oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Pesta Cahaya ini bukan diraikan oleh kaum India sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dengan penuh meriah dan keceriaan.

"Ia selari dengan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan perpaduan antara kaum, kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini perlu dihargai, disuburi dan diwariskan hingga ke anak cucu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semoga perayaan ini menjadikan semua masyarakat terus bersatu hati agar generasi akan datang dapat mewarisi sebuah negara Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.

"Saya dan isteri serta seluruh warga PDRM mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada segenap masyarakat terutama anggota dan pegawai polis beragama Hindu," katanya.