Lebih 2 juta kenderaan di tiga lebuh raya utama sempena cuti Deepavali

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga lebuh raya utama negara akan menerima peningkatan trafik berikutan pertambahan aliran keluar kenderaan dari ibu kota dan Lembah Klang menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan bermula Jumaat ini hingga Selasa depan sempena cuti perayaan Deepavali.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan berkata, dua juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Utara Selatan (PLUS), manakala Kuala Lumpur-Karak sebanyak 173,000 kenderaan, Pantai Timur Fasa 1 (71,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (50,000) pada setiap hari bagi tempoh tersebut.

“Untuk memastikan pergerakan kenderaan di lebuh raya adalah terkawal, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna selamat dan lancar.

“Syarikat konsesi diarah menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya sepanjang tempoh berkenaan.

“Sistem kutipan tol perlu dipastikan berfungsi dengan baik selain penambahan lorong tol sementara plaza yang mempunyai trafik tinggi dan menyediakan petugas tambahan,” katanya pada Khamis.

Tambah LLM, selain memastikan semua kemudahan dalam keadaan baik, syarikat konsesi juga diminta mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di beberapa lokasi berdasarkan keperluan bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

Pada masa sama, LLM menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan berdasarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh pihak PLUS Berhad dan Anih Berhad.

“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau sumber bayaran lain mencukupi supaya tidak menyumbang kepada kesesakan di plaza tol dan mematuhi had laju serta peraturan jalan raya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM secara berkala dan pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik di talian 1–800–88–7752 bagi mendapatkan maklumat terkini atau bantuan.