Aura Sepang azimat Damok

Damok (tengah) bersama Azroy Hakeem (kiri) dan Helmi ketika Sesi Beramah Mesra dan Bertemu Peminat Pelumba MotoGP di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
Damok (tengah) bersama Azroy Hakeem (kiri) dan Helmi ketika Sesi Beramah Mesra dan Bertemu Peminat Pelumba MotoGP di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman berazam menjelmakan keputusan positif apabila membuat penampilan di laman sendiri pada Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini.

Syarifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Damok berkata, dia akan menggunakan kelebihan berlumba di Litar Antarabangsa Sepang itu bagi memburu penamat yang lebih baik di hadapan penyokong sendiri nanti.

“Harapan saya sudah tentu mahu berada (menamatkan perlumbaan) dalam kelompok hadapan minggu ini. Ini kerana saya sudah banyak kali berlumba di Sepang, jadi saya mahu menggunakan kelebihan yang ada di Sepang.

“Tahun ini saya bersama MT (Helmets MSI)... saya yakin pasukan akan memberikan (komitmen) 100 peratus di Sepang minggu ini,” katanya kepada pemberita di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tampil kali pertama di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia, Damok mengharungi cabaran penuh berliku selepas 18 pusingan perlumbaan musim ini yang menyaksikan dia hanya mampu mengumpul keseluruhan lima mata.

Berbaki tiga pusingan termasuk GP Malaysia, Damok kini menduduki tangga ke-27 dalam senarai pelumba Moto3 dengan keputusan terbaiknya meraih kedudukan ke-11 pada perlumbaan GP Argentina, April lalu.

Damok mula mengalami penurunan prestasi terutamanya selepas mengalami kemalangan pada GP Itali, Jun lalu sehingga retak rusuk kiri, sekali gus terpaksa berehat panjang untuk menjalani proses pemulihan.

Dalam pada itu, Damok berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini sekalipun sedar berlumba di litar basah mampu memberi kelebihan kepada barisan pelumba Asia.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak kisah berlumba di litar basah atau kering. Paling penting saya dapat adaptasi segala kemungkinan atau senario yang akan berlaku pada hari perlumbaan nanti dan sentiasa fokus bermula pusingan kelayakan.

“Tentunya juga ada kelainan tahun ini daripada segi jentera. Tahun lepas saya menggunakan jentera Honda dan kali ini, saya dengan jentera KTM. Harap jentera KTM membawa tuah buat saya di Sepang,” ujarnya.

Selepas perlumbaan GP Malaysia, Damok akan meneruskan tugasan 'terakhirnya' bersama pasukan MT Helmets MSI pada GP Qatar yang dijadual berlangsung dari 17-19 November dan GP Valencia (24-26 November).

Selain Damok, dua pelumba muda negara - Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman yang beraksi atas tiket wildcard bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda Team bakal bersaing dalam kelas Moto2.