Peruntukan RM60 juta bina rumah nelayan pada 2020: LKIM

Muhammad Faiz Fadzil - Foto Bernama
Muhammad Faiz Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi pembinaan rumah nelayan menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga negeri tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, RM20 juta masing-masing diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Terengganu yang akan memanfaatkan 920 penerima.

"Projek membina rumah berharga RM54,000 seunit itu membabitkan 120 nelayan di Labuan, 300 nelayan di Sabah dan 500 nelayan di Terengganu.

"Ada kawasan yang sudah mendapat kelulusan tanah dari kerajaan negeri dan ada yang sedang menunggu kelulusan untuk membina rumah tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah PSN di Tanjung Dawai dekat sini hari ini.

Beliau berkata PSN telah memanfaatkan 1,822 nelayan setakat ini membabitkan peruntukan RM193 juta.

Muhammad Faiz berkata, nelayan menerima rumah itu menerusi skim sewa beli dengan perlu membuat bayaran sebanyak RM150 sebulan bagi tempoh 30 tahun.

Pada majlis hari ini, sebanyak 72 nelayan menerima kunci rumah masing-masing manakala baki 21 rumah lagi akan diserahkan secara berperingkat.

Penerima PSN di Tanjung Dawai setakat ini berjumlah 279 nelayan. - Bernama

Artikel Berkaitan: