Kerajaan sedang bangunkan pelan tindakan baharu untuk bumiputera - Rafizi

Rafizi ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
Rafizi ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang membangunkan pelan tindakan baharu untuk bumiputera bagi meneliti semula pendekatan dalam pelaksanaan program membabitkan golongan berkenaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sehubungan itu, peruntukan untuk pembangunan Bumiputera menerusi Belanjawan 2024 diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi terlebih dahulu berbanding disalurkan terus kepada agensi-agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) atau Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

"Peruntukan untuk pemerkasaan Bumiputera dan pendidikan di bawah Yayasan Peneraju berjalan seperti biasa, termasuk program pembangunan sebanyak RM300 juta dan program khas peruntukan kepada Bumiputera untuk tahun depan.

"Saya buat keputusan untuk diletakkan di peringkat kementerian terlebih dahulu sementara kita membangunkan pelan tindakan baharu Bumiputera," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Pada Mac lepas, Rafizi dilaporkan berkata, keberkesanan Teraju dalam mengendalikan agenda Bumiputera akan diteliti semula berikutan dana yang disediakan kerajaan tidak disalurkan sepenuhnya kepada golongan sasar.

Menurut beliau, Teraju masih mempunyai baki dana sebanyak RM800 juta dari tahun-tahun sebelum ini merangkumi peruntukan perbelanjaan pembangunan dan mengurus yang boleh digunakan untuk aktiviti berkaitan Bumiputera pada tahun depan.

"Ya, akan ada program baharu Teraju kerana baki yang diperuntukkan pada tiga, empat tahun lepas (masih ada)... maksudnya program yang dibuat sama ada tidak ada sambutan atau tidak kena, kita perlu tambah baik dan selaras program itu, baru boleh melancarkan program baharu," tambah beliau.

Teraju yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan menerajui, menyelaras dan memacu agenda Bumiputera bertujuan meningkatkan penguasaan kumpulan berkenaan dalam ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rafizi berkata, pelaksanaan gaji progresif yang dicadangkan adalah bersifat sukarela dengan menggunakan pendekatan 'carrot and stick' (ganjaran dan balasan).

Beliau berkata, majikan yang menyertai skim gaji progresif dan mula membayar gaji secara progresif mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan sektor dan tahap kemahiran akan menerima insentif tunai tertentu.

"Kebaikan kepada majikan juga ialah kakitangan yang berada dalam skim gaji progresif perlu melalui latihan khusus yang akan meningkatkan kemahiran mereka.

"Manakala 'stick' pula kalau mereka tidak masuk (sertai gaji progresif) maka akan hadapi kesukaran mendapatkan bakat," katanya sambil menambah perincian lanjut akan dibahas melalui pembentangan Kertas Putih Gaji Progresif di Dewan Rakyat pada 30 November ini. - Bernama