X

Kindly register in order to view this article
!

Sayang kalau orang Melayu tak pandai tulis jawi: Permaisuri Agong

Tunku Azizah berkongsi gambar al-Quran lama yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan koleksi Almarhum Sultan Ahmad Shah.
A
A

SHAH ALAM - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi isi hatinya terhadap keunikan tulisan jawi yang kini dilupakan segelintir masyarakat terutama Melayu akibat peredaran zaman, mendapat pelbagai respons daripada warganet.

Berkongsi pandangannya itu menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, @cheminahsayang, Tunku Azizah bertitah, jika seseorang Melayu tidak pandai menulis jawi, maka teramatlah rugi kerana tulisan abjad ABC adalah universal.

“Jawi kaligrafi adalah sebuah seni, macam tulisan Cina menggunakan berus Cina atau orang Itali (Italic) menggunakan pen kaligrafi. Bukan senang walaupun saya pandai baca jawi, baca al-Quran, tulisan jawi saya tak cantik. Dulu saya suka baca Utusan Melayu.

“Sayang kalau orang Melayu tak pandai tulis jawi atau orang Cina tak pandai tulis Mandarin atau orang India tak pandai tulis Tamil, orang Siam dengan tulisan Siamnya. ABC itu universal dan global tapi kenalah pandai tulis cara kita juga. Tambahkan ilmu dan tak rugi.

“Ralit saya apabila tengok orang tulisan seni khat atau pun italic atau tulisan mandarin, kita handal ABC. Bila tengok cara mereka tulis jawi, menggunakan batang kayu, dipotong ikut angle bukannya senang,” tulisnya.

Tunku Azizah turut berkongsi beberapa gambar semasa lawatannya ke London baru-baru ini dan menyatakan rasa bangganya apabila melihat bagaimana orang luar begitu menitikberatkan bagaimana agama Islam mampu mempengaruhi seni barat.

Baginda juga turut berkongsi beberapa keping gambar al-Quran lama dan mengagumi kaligrafi tulisan lama itu.

Tunku Azizah berkongsi gambar al-Quran lama yang diterima dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang merupakan koleksi Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Tunku Azizah berkongsi gambar al-Quran lama yang diterima dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang merupakan koleksi Almarhum Sultan Ahmad Shah.

“Saya suka pergi Christies atau Sotheby di London. Suka tengok al-Quran yang lama, di tulisan tangan, paternnya cantik-cantik, hanya mampu tengok kerana mahal sangat. Orang bukan Islam berduyun beratur nak beli Quran yang beratus tahun umurnya.

“Saya suka cari dan simpan (collect) al-Quran lama tulisan tangan. Saya pamerkan di Museum Islam Al Sultan Abdullah di Pekan Pahang. Ini yang terbaru saya terima dari Tuanku Agong, koleksi Almarhum Sultan Ahmad Shah,” tulis baginda di Twitter.

Perkongsian Tunku Azizah kini tular di media sosial dan rata-rata netizen menyokong dengan pandangan yang ditulis oleh Permaisuri Agong dan mengharapkan agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan supaya rakyat khususnya orang Melayu tidak melupakan asal usul penulisan yang nenek moyang mereka.

“Salam dan Selamat pagi Paduka Tuanku Permaisuri Patik setuju sangat titah tuanku... Mohon patik ingin mencadangkan tuanku tubuhkan satu medium/platform/akademi untuk generasi sekarang yang ingin dan berminat untuk belajar seni khat dan kraftangan. Dengan itu akan terpelihara seni khat dan kraftangan kita,” tulis @whitecloudseven di Twitter.

@Danneyrayyan17 pula menulis, “Ampun tuanku beribu ampun sembah patik pohon diampun, patik dengan segala rendah hati mencadangkan agar tuanku mengadakan karnival sempena mengenalkan tulisan jawi kepada seluruh warga Malaysia, ampun tuanku."


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus