Banjir: Lapan lagi keluarga dipindahkan di Perak

Kejadian banjir berterusan di daerah Hilir Perak memaksa lapan lagi keluarga dipindahkan ke PPS. - Foto APM Perak
Kejadian banjir berterusan di daerah Hilir Perak memaksa lapan lagi keluarga dipindahkan ke PPS. - Foto APM Perak
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat pagi ini apabila 30 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan kesemua mangsa banjir kini seramai 340 orang berbanding 310 orang malam tadi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Perak menunjukkan pertambahan tersebut berlaku di daerah Hilir Perak melibatkan seramai 186 orang daripada 56 keluarga di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap berbanding hanya 156 mangsa malam tadi.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak paling ramai iaitu 165 mangsa daripada 50 keluarga manakala Dewan MPTI Langkap kembali menerima mangsa banjir seramai 21 orang daripada enam keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, mangsa banjir di daerah Kerian pula kekal seramai 154 orang daripada 43 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu.

Anggota BBP Slim River membantu memotong pokok yang tumbang merentangi jalan di Felda Trolak Jaya, Slim River, pagi tadi. - Foto JBPM Perak
Anggota BBP Slim River membantu memotong pokok yang tumbang merentangi jalan di Felda Trolak Jaya, Slim River, pagi tadi. - Foto JBPM Perak

Sebanyak 24 keluarga masih berlindung di PPS SK Changkat Lobak manakala 19 lagi berada di SK Alor Pongsu.

Sementara itu, kejadian tanah runtuh berlaku di Felda Trolak Jaya, Slim River menyebabkan beberapa pokok tumbang merentangi jalan.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River ke lokasi kejadian bagi membantu memotong pokok berkenaan selepas menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 6.30 pagi.

Artikel Berkaitan: