Tebing Barat juga terkurung seperti penjara


Kebebasan penduduk Palestin terus disekat sejak kebelakangan ini.
Kebebasan penduduk Palestin terus disekat sejak kebelakangan ini.
A
A
A

HEBRON - Kawasan kejiranan di seluruh H2 di Hebron yang didiami kira-kira 35,000 penduduk Palestin bersama 700 pendatang Yahudi agak lengang sejak akhir-akhir ini.

Keluarga Palestin di penempatan itu kini hidup dalam ketakutan selepas serangan ganas menyasarkan komuniti itu semakin meningkat di Tebing Barat.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun ketika Intifada Kedua. Kami berdepan lockdown penuh. Anggota tentera Israel sentiasa berkawal dan menyekat pergerakan kami,” kata Bassam Abu Aisha, 61.

Bekas Presiden Jawatankuasa Popular untuk Tel Rumeida itu mendakwa penduduk Palestin tidak lagi bebas keluar ke tempat awam.

Rungutan sama turut disuarakan kebanyakan penduduk di kawasan kejiranan berkenaan yang menyifatkan situasi tersebut seperti berada di dalam penjara.

Keadaan di kawasan itu berubah sama sekali selepas peperangan di Genting Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

Rejim Zionis menyerbu premis perniagaan milik penduduk Palestin di Hebron secara melulu dan menggesa pemilik serta pekerja mereka menutup kedai dan duduk di rumah.

Kumpulan sembang dalam talian komuniti H2 tersebut juga kecoh dengan mesej ‘mana-mana penduduk Palestin yang ditemui di luar rumah mereka akan ditembak’.

Artikel Berkaitan:

Pelampau Yahudi yang mengenakan pakaian seragam tentera sengaja menunjukkan 'kuasa' untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin di Tebing Barat.
Pelampau Yahudi yang mengenakan pakaian seragam tentera sengaja menunjukkan 'kuasa' untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin di Tebing Barat.

Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Palestin dipaksa ‘berkurung’ di dalam kediaman masing-masing dan hanya dibenarkan keluar mengikut waktu ditetapkan pada hari Ahad, Selasa serta Khamis.

SENTIASA TAKUT

Aktivis tempatan, Issa Amro, 43, turut berkongsi detik dia ditahan pihak berkuasa Israel bersama pelampau Yahudi yang mengenakan pakaian tentera.

“Saya dibawa ke pangkalan tentera di Tel Rumeida dengan tangan digari dan mata ditutup. Mereka kemudiannya memukul dan memaki hamun saya. Akhirnya saya dibebaskan selepas 10 jam diseksa,” ujarnya.

Beberapa hari selepas itu, pelampau Yahudi sekali lagi menyerbu rumahnya dan dia akhirnya diusir atas alasan kawasan tersebut diisytiharkan sebagai ‘zon tertutup tentera’ pada 20 Oktober lalu.

Amro kini terpaksa menumpang rumah rakannya di kawasan H1 dan masih belum pulih daripada kecederaannya.

“Ia adalah pengalaman pertama saya diseksa sedemikian rupa,”katanya dalam nada kesal.

Keadaan semakin meruncing setelah kebanyakan anggota tentera tetap dipindahkan ke Gaza dan sempadan Lubnan.

Kawasan H2 yang didiami kira-kira 35,000 penduduk Palestin di Hebron, Tebing Barat kini lengang.
Kawasan H2 yang didiami kira-kira 35,000 penduduk Palestin di Hebron, Tebing Barat kini lengang.

Anggota batalion simpanan bandar itu cuba menunjukkan ‘kuasa’' setelah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan di H2 dan Kawasan C di Tebing Barat di mana 60 peratus populasi berada di bawah kawalan tentera Israel.

“Pada siang hari mereka menjadi askar dan menjadi pelampau Yahudi pada waktu malam. Mereka tetap mempunyai sikap menjengkelkan yang sama,” kata Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemulihan Hebron (HRC), Emad Hamdan.

Kebanyakan keluarga juga mula bimbang kerana tidak dapat memetik buah zaitun ketika musim menuai yang bermula pada pertengahan November.

Tiada hasil tuaian pada tahun ini bermakna segelintir keluarga bakal menghadapi ‘bencana ekonomi’.

“Kami tidak lagi boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Ahli keluarga terpaksa tidur mengikut giliran untuk menjaga keselamatan.

“Ramai bimbang rumah diserbu pelampau Yahudi dan membunuh penduduk Palestin tanpa perikemanusiaan. Ia mencerminkan apa yang sedang berlaku di Gaza juga berlaku di sini.

Rakaman sistem kamera litar tertutup menunjukkan kehadiran tentera Israel di sekitar kawasan kejiranan penduduk Palestin.
Rakaman sistem kamera litar tertutup menunjukkan kehadiran tentera Israel di sekitar kawasan kejiranan penduduk Palestin.


INFO

- Sejak beberapa minggu lalu, siri serbuan ganas terus dilancarkan di seluruh Tebing Barat malah insiden pertempuran turut meningkat di Baitulaham, Qalqilya, Tubas dan Jenin.

- Sejak 7 Oktober lalu, lebih 2,000 termasuk individu yang dipercayai ada kaitan dengan Hamas telah ditahan tentera Israel.

- Angka korban di wilayah itu juga mencecah lebih 150 orang.