Apungkan harga telur elak dimanipulasi kartel - Ameer Ali

Ameer Ali ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar Siri ke-419 ‘Tarik Subsidi Ayam: Apa Kesan Kepada Rakyat? pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Ameer Ali ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar Siri ke-419 ‘Tarik Subsidi Ayam: Apa Kesan Kepada Rakyat? pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu bertindak segera mengapungkan harga telur dalam masa terdekat bagi mengelak harga dan bekalan runcit bahan itu terus dimanipulasi ‘kartel’.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin mengakui jika telur ayam diapungkan sekarang harganya pasti akan naik.

“Saya bukan kata sebab kos ‘production’, tapi saya tengok harga antarabangsa. Di Thailand, telur 65 sen sebiji, kita pula 45 sen, keluar subsidi 10 sen baru jadi 55 sen.

“Tapi bekalan telur ayam di pasaran tak turun, telur itu ada tapi telur yang disubsidi sahaja tiada, sebab operator pun pandai juga mereka tak nak jual gred A, B, C sebab nak jual telur omega,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri ke-419 ‘Tarik Subsidi Ayam: Apa Kesan Kepada Rakyat?’ dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk BadrulHisham Muhammad dan Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff sebagai panelis.

Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad berkata, jika harga telur diapungkan segera dalam tempoh empat hingga lima bulan lagi pasti bekalan baharu akan wujud.

“Jika apung sekarang nak raya nanti bekalan telur gred A, B dan C ada, jangan jadi macam tahun lepas kena pakai telur omega buat biskut, mahal.

Artikel Berkaitan:

“Harga ayam naik boleh turun, tapi kalau di pasaran biskut harga RM22 boleh jadi naik RM23 sebalang, kartel lagi suka,” selorohnya.

Jelasnya, ianya bukan sebab tiada telur di negara ini tetapi yang ada hanya telur omega.

"Jadi rakyat B40 kena bayar RM18 untuk telur omega dan terpaksa beli juga. Baik kita apungkan telur naik RM3 satu papan, Insya-ALLAH tapi sekurang-kurangnya bekalan telur tak putus.

Mengulas lanjut mengenai pengapungan harga ayam, Ameer berkata, pelaksanaannya kini berjaya kerana kerajaan sanggup ambil risiko.

“Kita tak perlu tunggu lama sangatlah, kalau kita nak tunggu sampai mati tak habis. Kerajaan harus ambil risiko, masalah itu selalu memang ada.

“Macam kita nak apungkan harga ayam pun, saya sampai mimpi pasal harga ayam tu sama ada akan naik atau akan turun, saya mimpi RM10.50, tapi kita jual RM7.90,” guraunya.