Polis nafi video tular berkait kes culik

Tular hantaran di media sosial berserta rakaman CCTV yang mendakwa berlakunya kes melibatkan penculikan di hadapan sebuah kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, pada Selasa.
Tular hantaran di media sosial berserta rakaman CCTV yang mendakwa berlakunya kes melibatkan penculikan di hadapan sebuah kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Polis menafikan video tular yang didakwa berkaitan dengan kes culik di hadapan sebuah kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, video berkenaan yang memaparkan dua individu menaiki sebuah kereta yang didakwa terlibat dalam kes culik itu adalah tidak benar.

Beliau berkata, semakan berdasarkan nombor pendaftaran kereta terbabit mendapati ia berkaitan kes melarikan diri daripada pemeriksaan polis pada 31 Oktober yang lalu.

"Ketika kejadian kereta berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai dobi terbabit kira-kira jam 9.30 pagi sebelum pihak polis dihubungi berkaitan perkara itu.

"Kedua-dua suspek yang menaiki kereta itu yang merupakan lelaki warga asing kemudiannya bertindak melanggar motosikal milik anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan sebelum bertindak melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari yang sama di hadapan sebuah hotel di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

"Tangkapan dijalankan kira-kira jam 1 petang itu turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dan sebuah kereta jenis Honda CRV berwarna merah.

"Kedua-dua suspek turut didapati tiada dokumen perjalanan yang sah selain ujian saringan dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis metaphatamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes masih dalam siasatan," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi selain menularkan kejadian yang tidak tepat.

"Jangan sesekali menularkan perkara yang tidak sahih sehingga menimbulkan kegentaran awam.

"Pastikan kesahihan sebarang info atau maklumat yang diterima terlebih dahulu dan sebarang pertanyaan boleh diajukan ke mana-mana balai polis berhampiran untuk mendapatkan kepastian," katanya.

Pada Selasa, tular hantaran di media sosial berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mendakwa berlakunya kes melibatkan penculikan.