Webinar Penerbit Pendidikan Malaysia himpun 24 pakar

Antara panel antarabangsa terlibat ialah Dr Andreas Schleicher (kiri) dan Dr Dirk Hastedt.
Antara panel antarabangsa terlibat ialah Dr Andreas Schleicher (kiri) dan Dr Dirk Hastedt.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) akan menganjurkan webinar Penerbit Pendidikan Malaysia pada 22 November bagi membincangkan mengenai usaha meningkatkan tahap pencapaian pelajar di negara ini.

Naib Presiden Mabopa, S Sivabalan berkata, webinar yang akan berlangsung selama sehari bermula jam 8.45 pagi hingga 4.45 petang itu melibatkan 24 panel pakar penerbitan serta pendidikan daripada 15 negara seperti Singapura, Jerman, Australia dan sebagainya.

S Sivabalan
S Sivabalan

Menurutnya, perkongsian maklumat secara menyeluruh dapat dilaksanakan menerusi webinar tersebut bersama pakar-pakar antarabangsa berkaitan topik pendidikan, penerbitan dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Kita tahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang bangunkan kurikulum baharu dan dasar buku teks digital.

"Hala tuju pendidikan juga mengambil kira penilaian Pentaksiran dan Kajian Perbandingan Antarabangsa (PISA) serta Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

“Mabopa merupakan rakan seperjuangan dalam usaha pembangunan ini kerana kurikulum dihasilkan kementerian terbabit, pengajaran dijalankan guru-guru manakala bahan-bahan dan kandungan berkualiti yang akan digunakan nanti adalah tugas penerbit.

"Jadi, persoalan mengenai apa yang perlu disediakan kepada pelajar sebagai persediaan mereka sangat penting untuk dibincangkan bersama melalui tema Membangunkan Abad ke-21: Dasar, Strategi dan Bahan Pendidikan dalam webinar ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Antara panel antarabangsa yang terlibat ialah Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher dan Pengarah Eksekutif Persatuan Antarabangsa Penilaian Pencapaian Pendidikan (IEA), Dr Dirk Hastedt.

Selain itu, pakar tempatan yang akan turut serta ialah Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia (Perpema), Datuk Satinah Syed Saleh dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi.

Tambah Sivabalan, perubahan yang akan berlaku terutamanya dari segi teknologi memerlukan perbincangan lanjut bersama pakar-pakar berkenaan bagi mempersiapkan para pelajar menghadapi dunia kerjaya selepas tamat persekolahan nanti.

“Isu ini kita perlu berpandangan luas dengan melihat pengalaman mereka (pakar antarabangsa) untuk mendapatkan pengetahuan lebih mendalam dan diaplikasikan dengan sewajarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wakil guru, pihak ibu bapa dan orang ramai turut dijemput untuk menyertai webinar ini bagi berkongsi pandangan mereka mengenai perkara tersebut.

“Tiket penyertaan bagi orang awam ialah RM150 tetapi mereka boleh dapatkan dengan harga RM100 sahaja bagi pembeli awal bermula hari ini sehingga Ahad.

“Kami juga ada sediakan tiket khas kepada guru-guru iaitu RM50 sahaja.

"Mereka hanya perlu hubungi kami di epfreg@mabopa.com.my untuk menerima diskaun kupon ini.

“Semua pembeli tiket berkenaan layak menerima sijil kehadiran digital dengan memuat turun selepas webinar tamat,” jelasnya.