4 didakwa curi mangkuk tandas dari Istana Blenheim UK

Mangkuk tandas bersalut emas yang dicuri ini dipamerkan di Istana Blenheim pada 2019. - GETTY IMAGES
Mangkuk tandas bersalut emas yang dicuri ini dipamerkan di Istana Blenheim pada 2019. - GETTY IMAGES
A
A
A

LONDON - Seramai empat lelaki didakwa berhubung kes kecurian sebuah mangkuk tandas bersalut emas dari Istana Blenheim di luar Oxford di England, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mangkuk tandas yang dijadikan hiasan dan dianggarkan bernilai AS$5.95 juta itu hilang dalam satu kejadian pada September 2019.

Pada Isnin, Crown Prosecution Service (CSP) berkata, pihaknya membenarkan pertuduhan jenayah ke atas empat lelaki itu yang akan hadir di Mahkamah Majistret Oxford pada 28 November ini.

Tertuduh ialah James Sheen, 39, dari Wellingborough, Northamptonshire yang berdepan pertuduhan pecah rumah dan dua lagi pertuduhan.

Selain itu, Michael Jones, 38, dari Oxford, didakwa atas pertuduhan pecah rumah manakala Fred Doe, 35, dari Ascot, Berkshire, dan Bora Guccuk, 39, dari barat London, masing-masing didakwa dengan pertuduhan bersubahat untuk memindahkan harta jenayah.

Tandas yang berfungsi sepenuhnya itu dipasang sebagai karya seni di istana Oxfordshire, tempat kelahiran Winston Churchill. - Bernama

Artikel Berkaitan: