Sekumpulan perompak bertopeng larikan emas bernilai RM1.4 juta

Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian rompakan barang kemas mengakibatkan kerugian hampir RM1.4 juta.
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian rompakan barang kemas mengakibatkan kerugian hampir RM1.4 juta.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Barang kemas bernilai hampir RM1.4 juta dilarikan dalam satu rompakan di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai emas, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Menurutnya, suspek memakai sarung muka bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut untuk dihantar ke premis.

"Mangsa berusia lewat 30-an ketika itu baru sahaja turun dari kereta sebelum secara tiba-tiba didatangi beberapa lelaki memakai topeng bersenjatakan parang dan tukul.

"Cermin kereta mangsa telah dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mangsa mahupun orang awam.

Suspek memakai sarung muka bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut untuk dihantar ke premis.
Suspek memakai sarung muka bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut untuk dihantar ke premis.

Katanya, operasi mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan bersenjata," katanya.

Insiden rompakan itu sempat dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di media sosial.

Video 21 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki menaiki dua kenderaan berhenti secara mengejut di tepi kenderaan mangsa.

Kelihatan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka menggunakan sarung hitam melarikan beg-beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.