Kerajaan sasar jadikan Malaysia hab AI di rantau ini - Rafizi

Rafizi Ramli ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto: Bernama
Rafizi Ramli ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang berusaha membawa masuk peneraju utama industri kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia untuk menjadikan negara sebagai hab AI di rantau ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bercadang mewujudkan infrastruktur AI terbaik di rantau ini bagi menarik penglibatan syarikat pemula niaga dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai tumpuan utama bagi sektor tersebut.

Menurutnya, usaha itu akan dijalankan menerusi pelaksanaan strategi baharu dan penambahbaikan ekosistem AI yang akan terkandung dalam pelan tindakan Kuala Lumpur 20 (KL20) yang dijangka dilancarkan pada Februari 2024.

"Aspirasi KL20 adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia yang seterusnya akan menarik minat syarikat pemula niaga dari seluruh dunia dalam bidang AI untuk beroperasi di Malaysia.



"Ini secara automatik juga akan membawa pelaburan daripada pemodal teroka selain daripada subsektor yang digariskan dalam MyDIGITAL sebelum ini," kata Rafizi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanya mengenai status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Artikel Berkaitan:


Rafizi berkata, bagi merealisasikan usaha itu, perbincangan juga telah dijalankan dengan beberapa syarikat gergasi dunia dalam bidang AI untuk membolehkan teknologi mereka dibawa ke negara ini.

"Kalau syarikat pemula niaga ingin menggunakan cip atau kapasiti pemprosesan pada peringkat yang membolehkan mereka membangunkan produk AI, mereka kena datang ke Malaysia di rantau ini, kerana di tempat lain tidak ada," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!