Kerajaan dicadang selaras pendapatan peneroka Felda ikut gaji minimum

Shamshulkahar ketika perbahasan di Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Shamshulkahar ketika perbahasan di Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya kerajaan membuat pelarasan pendapatan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada RM1,500 sebulan berbanding kira-kira RM1,200 yang diterima ketika ini agar selari dengan pelaksanaan gaji minimum.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berkata, langkah itu perlu dengan mengambil kira beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, pelarasan pendapatan itu boleh dibuat dengan memberi bantuan sebanyak RM300 sebulan.

“Setelah tolak segala hasil pengurusan di tanah rancangan Felda, rata-rata slip gaji yang diterima peneroka adalah lebih kurang RM1,200 sahaja.

“Jadi, ini jauh lebih rendah daripada asal yang ditetapkan oleh kerajaan melalui gaji minimum bulanan RM1,500,” katanya ketika perbahasan di Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Menurutnya, secara kasar implikasi kewangan melibatkan sebanyak RM405 juta setahun jika kerajaan memberi bantuan RM300 sebulan untuk genapkan pendapatan peneroka kepada RM1,500 sebulan.

Ujarnya, berdasarkan hasil keseluruhan peneroka untuk pendapatan negara dianggarkan RM11 bilion setahun.

“Ini jelas menunjukkan hasil perladangan peneroka menjadi penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika ini terdapat seramai 112,635 peneroka melibatkan 317 tanah rancangan di seluruh negara.