Agong, Permaisuri sanjung tinggi inisiatif sukarelawan warga BSMM

Tangkap layar ucapan tahniah di lnstagram Istana Negara pada Isnin
Tangkap layar ucapan tahniah di lnstagram Istana Negara pada Isnin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyanjung tinggi inisiatif sukarelawan yang dilaksanakan oleh semua peringkat warga Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Menerusi hantaran di Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan usaha itu sekali gus dapat memperkasakan lagi semangat tolong menolong dan kemanusiaan dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada BSMM atas khidmat cemerlang, sumbangan dan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada masyarakat, kerajaan negeri dan Persekutuan serta di luar negara.

"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada BSMM yang diterajui Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atas sambutan ulang tahun ke-75.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tunku Puteri Intan Safinaz atas persilaan kepada baginda berdua ke Majlis Makan Malam Amal sempena sambutan ulang tahun ke-75 BSMM di The St. Regis Kuala Lumpur pada 4 November," menurut hantaran itu.
Artikel Berkaitan:


Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar BSMM dilimpahi kecemerlangan berterusan dalam mendukung usaha menghulurkan khidmat dan bantuan kemanusiaan serta warganya sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT. - Bernama