ICQS Pagalungan: Penduduk bakal terima limpahan ekonomi, prasarana

Kampung Saliliran dihuni kira-kira 250 penduduk bakal terima limpahan ekonomi jika ICQS di Bantul, Pagalungan siap.
Kampung Saliliran dihuni kira-kira 250 penduduk bakal terima limpahan ekonomi jika ICQS di Bantul, Pagalungan siap.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penduduk di Kampung Saliliran, Nabawan, bakal menikmati limpahan ekonomi dan prasarana susulan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bantul, Pagalungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata, beliau sedar keadaan masyarakat di kawasan pedalaman di daerah itu yang terhad menerima pelbagai kemudahan termasuk akses jalan perhubungan dan telekomunikasi sehingga memberi kesan kepada punca pendapatan penduduk kampung.

Bagaimanapun, menurutnya, penduduk tidak akan selama-lamanya berhadapan dengan masalah itu sebaliknya dengan pembinaan ICQS itu akan membuka ruang dan peluang ekonomi kepada penduduk di sekitarnya.

"Ketika ini punca pendapatan penduduk termasuk di Kampung Saliliran hanya melalui aktiviti pertanian seperti bercucuk tanam padi bukit, sayur-sayuran, buah-buahan, perikanan dan hasil hutan seperti ubat-ubatan.

"Bagaimanapun, pihak kerajaan berusaha memastikan aktiviti sosio-ekonomi penduduk tidak bergantung dengan itu saja pada masa akan datang, kerana ketika ini pembinaan ICQS sedang dilakukan di kawasan sempadan antara Kalimantan, Indonesia dan Pensiangan di mana ia akan memberi kesan membuka lebih banyak peluang aktiviti ekonomi kepada penduduk disekitarnya jika ia beroperasi nanti.

"Malah, secara tidak langsung kemudahan lain dapat dibina memandangkan kawasan ini bakal menjadi tumpuan susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan khas Sinar Harian berhubung kesukaran penduduk di Kampung Saliliran yang tiada akses jalan perhubungan dan telekomunikasi menyebabkan mereka tiada punca pendapatan yang tetap di kampung tersebut.

Keadaan itu menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah keluar dari kawasan untuk mendapatkan pekerjaan demi menyara keluarga namun tindakan itu sekali gus menyebabkan jumlah penduduk mulai berkurangan di kampung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus meningkatkan usaha membangunkan masyarakat di pedalaman termasuk di kawasannya sendiri.

"Ini termasuk dari segi akses pendidikan, jaringan jalan perhubungan dan internet, aktiviti pertanian dan juga pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan.

"Dari segi pembangunan infrastruktur keperluan asas seperti pembinaan paip graviti, bekalan elektrik melalui tenaga solar dan set janakuasa turut diambil perhatian," ujarnya.

Abdul Ghani turut memberi jaminan bahawa masyarakat kampung di mukim Pensiangan akan terus diberi perhatian dan tidak tercicir daripada menerima sebarang bantuan atau inisiatif daripada kerajaan.

"Kerajaan mempunyai banyak program pembasmian kemiskinan seperti e-kasih, bantuan kebajikan, bantuan tunai rahmah, akses pendidikan dan bantuan kesihatan," katanya.

Menerusi laporan khas bersiri yang diterbitkan sebelum ini, Sinar Harian berpeluang menyertai misi kemanusian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Forces Of Love (FOL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Kampung Saliliran dan menyelami keadaan masyarakat di perkampungan tersebut.

Misi kemanusiaan itu dilaksanakan susulan kejadian tanah runtuh di laluan yang menghubungkan Pensiangan ke perkampungan di kawasan sekitar pada September lalu dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan makanan.

Kampung Saliliran pula tidak mempunyai akses jalan penghubung di mana penduduk kampung hanya dapat keluar dari perkampungan dengan berjalan kaki merentasi hutan belantara antara tiga hingga lima jam, menaiki bot selama tiga jam dan juga menggunakan pacuan empat roda selama tiga jam untuk ke Nabawan dengan kos perjalanan mencecah RM1,500.