Liga Wanita Nasional medan cungkil bakat pemain

Para pemain Sabah meraikan kejayaan merangkul gelaran sulung LWN 2023 di Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
Para pemain Sabah meraikan kejayaan merangkul gelaran sulung LWN 2023 di Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Wanita Nasional (LWN) 2023 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu dianggap sebagai permulaan untuk kejohanan itu terus berkembang mencungkil bakat baharu untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi berkata, beliau gembira dengan kejohanan tersebut yang mencapai matlamatnya dan turut memberikan peluang cukup besar untuk pemain mendapatkan minit permainan.

"Liga ini merupakan langkah yang cukup besar dan banyak lagi perkara kita mahu tambah baik dan fokus tetapi, ini hanyalah permulaan. Melalui liga ini kita belajar dan bergerak kehadapan.

"Jika kita nak dapatkan ramai pemain, kita perlu beri mereka peluang. Jika kita mahu pemain yang bagus, kita kena sediakan platform untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang LWN di Stadium UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Dalam aksi penentuan juara liga itu, Sabah berjaya muncul juara selepas seri 1-1 dengan Malaysia University Football Team (MUFT).

Sabah berkongsi 13 mata dengan Kelana United FC sebagai dua pasuakan teratas, namun kelebihan jaringan menyaksikan pasukan dari Borneo itu dinobatkan sebagai juara.

Menurut Soleen, beliau juga tidak menyangka liga yang baru sahaja diperkenalkan musim ini cukup kompetitif.

"Saya tidak jangka akan lihat banyak pasukan kompetitif. Kita bercakap tentang empat pasukan teratas hanya satu atau dua mata dibezakan antara setiap pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Liga wanita pada kebiasaanya mempunyai jurang yang besar antara satu pasukan dengan pasukan lain. Tetapi, LWN menunjukkan aksi sengit dan ia cukup bagus.

"Setiap pemain yang beraksi di LWN juga berpeluang untuk dipanggil menyertai pasukan kebangsaan,"katanya.