Fernandes pastikan Manchester United kembali padu

Fernandes - Foto Agensi
Fernandes - Foto Agensi
A
A
A

SENTUHAN penyudah kapten Manchester United, Bruno Fernandes membolehkan The Red Devils meraih kemenangan bermakna 1-0 ke atas Fulham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage pada Sabtu.

Jaringan minit ke-91 pemain kelahiran Portugal itu mengembalikan semula gergasi liga Inggeris kendalian Erik Ten Hag tersebut ke landasan kemenangan sebelum dikritik berikutan persembahan tidak menentu musim ini.

Kemenangan itu membolehkan The Red Devils mengumpul 18 mata selepas mengharungi 11 perlawanan liga setelah tewas 0-3 kepada seteru tertangga Manchester City pada 29 Oktober lalu.

Tiga mata itu juga penting selepas United ditunjukkan jalan keluar dari saingan Pusingan 16 Piala Liga selepas tewas 0-3 kepada Newcastle United di Stadium Old Trafford pada 2 November lalu.

Kemenangan itu juga merupakan tonik mujarab buat angkatan Ten Hag menjelang saingan pusingan kedua Kumpulan A Liga Juara-Juara menentang gergasi Denmark, FC Copenhagen di Stadium Parken pada 9 November depan.

Sebelum ini United menewaskan FC Copenhagen, 1-0 di Stadium Old Trafford hasil jaringan pemain pertahanan berpengaruh Harry Maguire pada minit ke-72.

Manchester United kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan tiga mata selepas mengharungi tiga perlawanan - enam mata di belakang pendahulu gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich - satu mata di belakang Galatasaray dari Turkiye.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!