Bas ekspres terbalik, tangan kanan pemandu hancur

Keadaan bas ekspres terbalik di KM51, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Sabtu. - Foto bomba
Keadaan bas ekspres terbalik di KM51, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Sabtu. - Foto bomba
A
A
A

KLUANG - Sebuah bas ekspres dalam perjalanan ke Johor Bahru yang membawa 11 penumpang terbalik di Kilometer 51, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, pada pagi Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu menyebabkan tangan kanan pemandu bas hancur, manakala seorang penumpang dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemandu dikenali sebagai Raju A Muniandy, 45, kini ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut

Tambahnya, seorang penumpang dikenali sebagai Chin Wei Hong, 27, mengalami kecederaan di kepala dan menerima tujuh jahitan.

"Hasil siasatan awal mendapati bas ekspres membawa 11 penumpang dari Kuala Lumpur. Apabila sampai di tempat kejadian, pemandunya hilang kawalan dan langgar pembahagi jalan di tengah lebuh raya lalu terbalik ke sebelah kanan.

Sebelas penumpang terselamat selepas bas ekspres terbalik di KM51, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Sabtu. - Foto bomba
Sebelas penumpang terselamat selepas bas ekspres terbalik di KM51, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Sabtu. - Foto bomba

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan seorang penumpangnya mengalami kecederaan manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seramai 19 anggota bomba dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan Kulai dengan kekuatan dua jentera FRT serta sebuah unit EMRS dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, semua mangsa berjaya keluar sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba dan operasi ditamatkan pada 5.47 pagi.