Wakaf: Pahala berterusan tanpa henti

Wakaf: Pahala Berterusan Tanpa Henti’.
Wakaf: Pahala Berterusan Tanpa Henti’.
A
A
A

INISIATIF Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang menyediakan ruang untuk masyarakat Islam berwakaf tunai serendah RM5 menerusi potongan gaji adalah jalan keluar yang sangat berkesan.

Penolong Pengarah Jabatan Wakaf, MAINS Ustaz Bukhari Safian menjelaskan, usaha itu dapat meningkatkan kutipan wakaf di negeri ini serta hasilnya lebih ramai masyarakat dapat berkongsi manfaat daripada projek wakaf yang dibangunkan oleh MAINS.

“Wakaf terhadap umat Islam adalah penting kerana ia memainkan peranan yang amat besar dalam perkembangan syiar Islam bahkan ia merupakan satu amalan terpuji yang harus disuburkan kembali dalam masyarakat.”

“MAINS menjadi peneraju utama dalam wakaf ini jadi kita berharap dengan adanya majlis penerangan dapat memberikan maklumat kepada umat Islam di negeri ini,”

Ustaz Bukhari Safian
Ustaz Bukhari Safian

Beliau menjelaskan demikian menerusi siaran podcast POV Sinar Islam Plus yang mengupas tajuk ‘Wakaf: Pahala Berterusan Tanpa Henti’.

Ujarnya, antara manfaat wakaf yang telah disalurkan oleh MAINS meliputi pembelian mesin hemodialisis, pembinaan pusat tahfiz dan madrasah, pembelian peralatan perubatan kepada Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pembelian komputer bagi kegunaan pelajar sekolah di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Kami telah mengagihkan lapan unit mesin hemodialisis kepada Hospital Tuanku Ja’afar yang boleh memanfaatkan lebih kurang 390,000 pesakit bukan sahaja yang beragama Islam tetapi bukan Islam hasil daripada wakaf tersebut,” katanya.

Pengurusan bersistematik

Turut hadir sebagai panel program 30 minit iatu ialah Duta Wakaf Negeri Sembilan, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Menurutnya, dana wakaf yang disumbangkan itu akan diagihkan kepada empat sektor utama iaitu kesihatan, pendidikan, sosioekonomi dan pengembangan harta wakaf.

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid
Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

” MAINS berperanan membudayakan semula amalan wakaf selain menggalakkan pengurusan wakaf yang lebih bersistematik dan produktif untuk kepentingan agama dan pembangunan ummah di negeri ini,” ujarnya.

Memperincikan lebih lanjut, pendakwah terkemuka itu berkata, amalan berwakaf menjanjikan pahala berterusan, selagi harta diwakafkan itu kekal dan memberi manfaat.

Beliau memetik mafhum sebuah hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Para ulama antaranya Imam an-Nawawi telah menafsirkan kalimah sedekah jariah dinyatakan dalam hadis ini sebagai amalan wakaf.

“Jelas, hanya amalan wakaf memiliki ciri sedekah yang sentiasa mengalir tanpa terhenti di tangan penerima sedekah sahaja,” katanya.

Begitu hebat berwakaf sehingga syariat Islam mengiktirafnya sebagai amalan yang amat digalakkan.

Apabila melibatkan perihal wakaf, kadang-kala menjengah di minda masyarakat adakah ia mempunyai had sempadan seperti zakat atau boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Menjawab persoalan itu, Ustaz Don menyatakan bahawa berwakaf tidak sama dengan zakat kerana zakat mempunyai had sempadan negeri manakala wakaf pula tiada had sempadannya.

“Tidak kira kita berada di mana, boleh sahaja berwakaf, hukumnya masih sah dan tiada had sempadan,” jelasnya.

Universiti Al-Azhar di Mesir adalah salah satu contoh hasil wakaf yang dioptimakan sepenuhnya untuk pembangunan pendidikan umat Islam.
Universiti Al-Azhar di Mesir adalah salah satu contoh hasil wakaf yang dioptimakan sepenuhnya untuk pembangunan pendidikan umat Islam.

Ujar beliau, banyak saluran yang boleh diguna untuk terus bersedekah dan berwakaf. Pelbagai kaedah boleh diguna pakai oleh mereka yang ingin terus menerus berinfak.

“Bagi pihak MAINS sendiri, terdapat empat cara yang disediakan untuk berwakaf, iaitu pertama adalah boleh hadir sendiri ke mana-mana pejabat MAINS atau membuat temu janji. Kedua adalah dengan menghubungi talian hotline MAINS 013-7743662.

“Kaedah ketiga, melalui pemotongan gaji bulanan hanya serendah RM5 secara automotik. Manakala cara terakhir adalah wakaf melalui online banking dengan melayari www.MAINS.gov.my,” ungkapnya.

Justeru wakaf membuka peluang dan jaminan kepada Muslimin agar harta yang pernah dimiliki terus kekal memberi manfaat kepada pemiliknya menerusi ganjaran pahala yang diraih sama ada ketika hidup atau sesudah meninggal dunia kelak.

Betapa hebatnya pemberian wakaf, peluang untuk memperoleh pahala berterusan bagai air mengalir.

Untuk perincian yang lebih menyeluruh tentang ganjaran pahala berterusan buat para pewakaf, saksikan podcast POV SI di kesemua platform media sosial Sinar Islam Plus, Sinar Harian serta audio Spotify (The SinarIslamPlus's Podcast).