Isytihar perabot, plastik tapi bawa rokok seludup

Mohammad Hamiddan (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Mohammad Hamiddan (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah di sini baru-baru ini.

Pengarah JKDM Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani, hasil daripada dua serbuan pada 15 dan 23 Disember itu membawa kepada penemuan 12.68 juta batang rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM12.492 juta.

“Kes pertama iaitu pada 15 Disember adalah membabitkan pasukan serbuan Cawangan Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah di Pelabuhan Tanjung Pelepas ke atas sebuah kontena berukuran kira-kira 12 meter.

“Kontena berkenaan diperiksa pada jam 10 pagi selepas disyaki membuat pengikraran Borang Kastam 1 (K1) dan mencurigakan.

"Kontena itu diikrar membawa perabot China namun hasil pemeriksaan mendapati ia diisi dengan muatan 10.3 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM11.33 juta,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di sini hari ini.

Mohammad Hamiddan berkata, menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu turut ditahan bagi membantu siasatan dan telah dikenakan wang jaminan sebanyak RM20,000.

Beliau berkata, bagi kes kedua pula, Cawangan Eksport JKDM Gelang Patah menahan sebuah lori bermuatan yang disyaki di Bay Pemeriksaan Cawangan Eksport Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada jam 7 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori mendapati terdapat lapan palet yang dibalut plastik pembalut dilapisi polister.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun enam daripadanya mengandungi kotak berisi rokok putih dan kretek sebaliknya hanya dua sahaja mengandungi barang diikrarkan seperti Borang Eksport Kastam (K2) iaitu kepingan plastik untuk dieksport ke Singapura," katanya.

Katanya, sebanyak 2.38 juta batang rokok kretek dan putih dengan semua barang tidak berdaftar dengan kastam ditemui itu bernilai RM1.162 juta.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu dibenarkan jaminan kastam RM30,000 bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, rampasan terbesar itu hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Selatan terhadap aktiviti penyeludupan rokok di membabitkan kenderaan itu.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967," katanya.