Ahli perniagaan didakwa gagal selenggara buku stok minyak masak

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, Jun tahun lepas. - Gambar hiasan
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, Jun tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, Jun tahun lepas.

Wan Mohd Roshidi Wan Mustapha, 42, selaku pemilik perniagaan TG Rizal Global Ventures yang memegang lesen borong minyak masak didakwa gagal menyelenggara buku stok bagi minyak masak yang tidak mengandungi maklumat berkaitan tarikh pembelian dan penjualan barangan kawalan, kuantiti pembelian dan penjualan barang kawalan, harga pembelian dan penjualan barangan kawalan dan nama serta alamat pembeli dan penjual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pusat beli-belah Sunway Putra, di sini, pada jam 11.36 malam, 2 Jun tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya didenda tidak melebihi RM3 juta atu penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pembantu Pegawai Penguatkuasa KPDN, Muhammad Izzat Arif Ishak menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Dis ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: