Tiga lelaki disyaki pengedar dadah dicekup

Razlam menunjukkan bekalan dadah yang berjaya dirampas dalam satu serbuan, Ahad lalu.
Razlam menunjukkan bekalan dadah yang berjaya dirampas dalam satu serbuan, Ahad lalu.
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan dalam satu operasi di Taman Sungai Mas, Ahad lalu.

Serbuan sekitar jam 3 pagi oleh anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu menemui lebih tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, kesemua dadah dianggarkan bernilai RM62,750 itu ditemui dalam dua kenderaan dipercayai bagi tujuan edaran di sekitar kawasan Simpang dan Taiping.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek sedang duduk bersantai di kawasan itu bersama kereta masing-masing jenis Proton Wira dan Perodua Axia.

"Pemeriksaan ke atas mereka tidak menemui apa-apa barang mencurigakan, sehinggalah pemeriksaan lanjut dibuat ke atas dua kenderaan berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira menemui 20 peket lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dan 11 peket lut sinar disyaki methamphetamine dalam sebuah beg plastik di bahagian penumpang belakang.

"Pemeriksaan pada kenderaan kedua pula menjumpai 25 peket lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin dan 10 peket lut sinar disyaki methamphetamine di bahagian penumpang hadapan.

"Turut ditemui beberapa plastik lut sinar kosong pelbagai saiz, alat sealer dan penimbang dipercayai digunakan bagi tujuan pembungkusan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan beralamat dari Pulau Pinang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan melakukan pembungkusan semula sebelum dijual.

"Ini berdasarkan peralatan yang kita temui bersama suspek, siasatan lanjut akan dibuat termasuk mengetahui bekalan dadah yang diperoleh," katanya.

Sebahagian dadah yang terisi dalam plastik lutsinar disyaki untuk dijual kepada penagih.
Sebahagian dadah yang terisi dalam plastik lutsinar disyaki untuk dijual kepada penagih.

Razlam berkata, semakan mendapati, ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan salah laku jenayah.

Katanya, dua daripada suspek mempunyai hubungan kekeluargaan sementara seorang lagi merupakan rakan.

"Ujian air kencing dilakukan kesemuanya positif dadah.

"Mereka kini direman selama enam hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.