Mahkamah benar Guan Eng cabar kredibiliti saksi utama

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, membenarkan pihak Lim Guan Eng mendapatkan salinan pernyataan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beberapa tahun lalu.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini, untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang juga Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) (ketika itu).

Ia bagi menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad, 64, dalam kes penipuan ahli perniagaan, G Gnanaraja di Shah Alam, Selangor dengan kes rasuah dan lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion ini membabitkan Ahli Parlimen Bagan ini.

“Saya mengarahkan keseluruhan pernyataan berkenaan diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu, bagi membolehkan mahkamah meneliti sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya.

“Jika wujud percanggahan, barulah salinan pernyataan itu dibekalkan kepada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini bagi perkembangan penyerahan pernyataan tersebut dan menentukan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi boleh diteruskan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, peguam, Gobind Singh Deo berkata, pembelaan memohon agar pernyataan itu diserahkan kepada pihak mereka terlebih dahulu.

Menurutnya, mahkamah perlu memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan fakta yang didakwa yang bercanggah, sekiranya ada.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu. Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah perkara tersebut dan mencadangkan dokumen itu diserahkan kepada mahkamah.

Susulan itu beliau berkata, pendakwaan bersedia untuk membekalkan salinan pernyataan ini dalam masa dua minggu.

Pada 24 Oktober lalu, pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad kerana kedua-dua dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau yang juga saksi pendakwaan ke-23 (SP23).

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.