KPM perkasakan pembangunan pendidikan khas

Pastikan kebolehpasaran dan daya saing MBPK

A
A
A

Murid MBPK boleh memilih aliran akademik atau kemahiran berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing.
Murid MBPK boleh memilih aliran akademik atau kemahiran berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing.



SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memastikan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) tidak dipinggirkan serta menerima kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.

MBPK mempunyai potensi yang besar dalam memacu pendidikan dan pembangunan negara sekali gus menjadi aset istimewa sebagai penyumbang kepada sosioekonomi negara.

Sehingga kini, KPM komited menyediakan pendidikan berkualiti serta fasiliti yang terbaik bagi memastikan MBPK mampu berdaya saing dan melakar kejayaan dalam pelbagai bidang.

KPM menyediakan dua aliran peluang pembelajaran kepada MBPK iaitu aliran akademik dan kemahiran.

Justeru, MBPK boleh memilih aliran akademik atau kemahiran berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing Oleh itu, KPM telah menghasilkan empat jenis kurikulum yang bersesuaian dengan MBPK.

Pertamanya, berdasarkan kepada Perkara 3 di bawah Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, kurikulum pendidikan khas ditakrifkan sebagai Kurikulum Kebangsaan yang diikuti oleh MBPK di Program Pendidikan Inklusif.

Sementara yang kedua, Kurikulum Kebangsaan yang diubah suai oleh Ketua Pendaftar iaitu kurikulum yang diubah suai berdasarkan ketidakupayaan MBPK contohnya seperti mata pelajaran Bahasa Melayu (Suaian) untuk MBPK Pendengaran dan Pendidikan Jasmani (Suaian) dan Pendidikan Kesihatan yang disediakan khusus untuk MBPK penglihatan.

Artikel Berkaitan:

Manakala, kurikulum ketiga ialah kurikulum yang dibina khusus oleh Ketua Pendaftar iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

Bagi kurikulum keempat, ialah apa-apa kurikulum latihan kemahiran yang pada pendapat Ketua Pendaftar, sesuai dan bermanfaat bagi MBPK. Ini merujuk kepada kursus kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran yang melayakkan MBPK memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Pendidikan untuk semua

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (berdiri, tengah) akan memastikan pembelajaran yang kondusif dan fasiliti berkualiti kepada MBPK.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (berdiri, tengah) akan memastikan pembelajaran yang kondusif dan fasiliti berkualiti kepada MBPK.



Dalam sistem pendidikan Malaysia, mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, MBPK dikategorikan kepada enam kategori iaitu;

- Ketidakupayaan pendengaran;

- Ketidakupayaan penglihatan;

- Ketidakupayaan pertuturan;

- Ketidakupayaan fizikal;

- Masalah pembelajaran (merangkumi murid sindrom down, autisme, Attention Defect Hyperactive Disorder (ADHD); dan

- Ketidakupayaan pelbagai.

Menurut kenyataan KPM yang dikeluarkan baru-baru ini, sehingga 31 Julai 2023, jumlah keseluruhan MBPK di seluruh negara adalah seramai 112,746 orang.

“KPM sentiasa menyokong dan mengamalkan prinsip pendidikan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang, ketidakupayaan, kaum dan ekonomi,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, KPM turut menyediakan pendidikan bagi MBPK melalui tiga pilihan persekolahan, iaitu Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Sehingga 31 Julai 2023, KPM mempunyai sebanyak 35 buah SPK yang terdiri daripada 28 buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) sebanyak tiga buah dan empat buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).

Sementara itu, sebanyak 2,659 buah PPKI diwujudkan KPM manakala PPI sebanyak 3,773 buah.

Semua MBPK yang telah disahkan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi layak untuk memohon ke tiga pilihan persekolahan ini. Selain itu, MBPK digalakkan untuk memohon kad orang kurang upaya (OKU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kemahiran dan vokasional

KPM menyediakan pendidikan MBPK melalui tiga pilihan persekolahan iaitu SPK, PPKI dan PPI.
KPM menyediakan pendidikan MBPK melalui tiga pilihan persekolahan iaitu SPK, PPKI dan PPI.



Selain itu, KPM menyediakan peluang kepada MBPK mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) program penuh melalui pembelajaran dalam bidang kemahiran di SMPKV, SMKPK dan Kolej Vokasional (KV) Keningau di Sabah. Turut menerima manfaat SKM secara modular ialah MBPK di PPKI di sekolah menengah harian biasa.

Pada masa sama, KPM juga akan membuka akses pendidikan kepada MBPK lepasan menengah PPKI melalui Program MBPK di KV dengan diberikan pengiktirafan pensijilan kemahiran SKM daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pelaksanaan Program MBPK di KV itu akan dirintis di KV Bachok, Kelantan pada tahun 2024 sebelum diperluas ke KV terpilih di seluruh negara secara berperingkat mulai tahun 2026.

Bagi MBPK yang berminat untuk belajar di SMPKV, terdapat empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Shah Alam, Selangor; SMPKV Indahpura, Johor; SMPKV Kuantan, Pahang dan SMPK Vokasional Merbok, Kedah.

KPM mengambil inisiatif menyediakan kursus di sekolah-sekolah berkenaan seperti desktop publishing, penyelenggaraan motosikal, jahitan pakaian (lelaki, wanita dan jahitan kreatif), pembuatan pastri serta pembuatan roti dan operasi pengeluaran batik. Inisiatif ini mampu menjadikan MBPK lebih berdaya saing dan meningkatkan kebolehpasaran murid dalam kategori itu.

Bagi mencipta peluang yang besar kepada MBPK, KPM berharap pihak industri khususnya sektor swasta bersama-sama mengambil langkah proaktif dengan memberi peluang kepada MBPK dalam bidang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

INFO MBPK

Bilangan Keseluruhan MBPK: 112,746 orang di seluruh negara.

Bilangan sekolah MBPK:

- 28 buah SKPK

- Tiga buah SMKPK

- Empat buah SMPKV

- 2,659 PPKI

- 3,773 PPI

Tiga Pilihan Sekolah:

- SPK - Pendidikan khas bagi MBPK pada semua peringkat persekolahan (prasekolah, rendah, menengah dan lepas menengah).

- PPKI - Program pendidikan bagi MBPK yang hanya dihadiri oleh MBPK di kelas khas di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

- PPI - Program pendidikan bagi MBPK bersama-sama dengan murid arus perdana dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan

Pengambilan MBPK ke institusi pendidikan khas bagi ambilan tahun 2024, permohonan kemasukan tingkatan satu dan tingkatan empat bermula pada 10 September hingga 7 November 2023 dan boleh dibuat menerusi dalam talian https://epkhas.moe.gov.my/.