Kerajaan negeri, konglomerat mampu bantu ringankan beban kelab Liga-M

Kim Swee - Foto Sabah Football Club
Kim Swee - Foto Sabah Football Club
A
A
A

PENGLIBATAN kerajaan negeri dan syarikat konglomerat dalam arena bola sepak tempatan mampu membantu meringankan kemelut kewangan yang mula menghantui beberapa kelab Liga Malaysia (Liga-M).

Itu pandangan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ketika ditanya mengenai senario ‘kurang sihat’ yang mula melanda sukan nombor satu negara sejak kebelakangan ini.

“Di mana sekalipun saya percaya sudah tentu (kelab) mempunyai beberapa kekangan dan kalau kita lihat senario bola sepak kita sudah tentu kita ingin kerajaan negeri terutamanya membantu dari segi kewangan.

“Ia bukan saja kepada pasukan (utama) tetapi juga kepada pasukan bawahan yang melibatkan projek-projek pembangunan amat penting.

“Dari situ kita harus mendapatkan sumber kewangan tinggi di mana saya percaya hanya kerajaan negeri dan penaja syarikat besar mampu menaja pasukan kelab mahupun pasukan remaja dapat menjalankan tugas mereka lebih baik,” katanya pada Rabu.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menegaskan akan melakukan yang terbaik termasuk mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

Ia susulan isu masalah kewangan dihadapi beberapa pasukan Liga-M yang kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai.

Kim Swee juga menyifatkan penangguhan aksi Liga Super, Sabah menentang Kelantan FC memberi lebih ruang kepada The Rhinos melakukan persiapan berdepan kelab Vietnam, Hai Phong FC dalam aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas, pada 9 November.

Artikel Berkaitan:

“Setelah perlawanan kita dengan Kelantan ditunda sekali lagi ini memberi banyak ruang kepada kita bersiap sedia bagi perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan berdepan Hai Phong.

“Kita perlu menggunakan ruang dan peluang ini dalam memastikan kita memperbaiki kelemahan ketika bermain menentang pasukan sama di Vietnam tempoh hari,” katanya.

Rekod bersih Sabah dalam kempen Piala AFC lebur selepas tewas 2-3 kepada gergasi liga Vietnam tersebut di Stadium Lach Tray, Hanoi, pada 30 Oktober lalu selepas memulakan kempen langkah kanan apabila mengatasi Hougang United (3-1) dan PSM Makassar (5-0).

Selain itu, Kim Swee juga menyifatkan baki perlawanan yang perlu diharungi The Rhinos penting dalam memastikan kelab mengakhiri saingan di kedudukan terbaik penghujung musim.

“Semua baki empat perlawanan pasukan Sabah selepas ini amat penting. Sekiranya apa-apa berlaku kepada pasukan tangga ketiga dan keempat, kita berpeluang mengakhiri liga di tiga kedudukan terbaik.

“Jadi saya ingatkan para pemain agar tidak ambil mudah walaupun berdepan Kelantan termasuk Terengganu, Perak dan Kedah di Likas.

"Keputusan positif penting bagi mengakhiri liga dengan tangga lebih baik dan pada masa sama kita perlu mendapatkan momentum yang baik dalam saingan Piala AFC sekiranya ingin layak ke peringkat seterusnya,” katanya.