Tujuh tebusan Israel maut dalam pengeboman kem Jabalia

Penduduk menggunakan tangan ketika mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan selepas Israel membedil kem Jabalia yang penuh sesak di utara Gaza pada Selasa. - Foto AFP
Penduduk menggunakan tangan ketika mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan selepas Israel membedil kem Jabalia yang penuh sesak di utara Gaza pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

GAZA CITY - Pejuang Hamas berkata tujuh tebusan Israel terbunuh dalam pengeboman kem penuh sesak Jabalia di utara Genting Gaza.

Menurut kenyataan Hamas, tiga daripada tebusan tersebut merupakan pemegang pasport antarabangsa.

Bagaimanapun, Hamas tidak memberikan butiran mangsa.

Serangan Israel ke atas kem Jabalia pada Selasa merupakan keganasan baharu rejim Zionis menyasarkan orang awam di Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini berkata, serangan tersebut membunuh komander Hamas, Ibrahim Biari yang dikaitkan dengan serangan di sempadan Israel-Gaza pada 7 Oktober lalu.

Ia menambah bahawa infrastruktur tentera bawah tanah Hamas di bawah bangunan di kem Jabalia runtuh dan ramai pejuang Hamas terbunuh.

Israel sebelum ini memaksa penduduk di utara Gaza termasuk di kem Jabalia berpindah ke selatan ketika ia meningkatkan serangan darat dan udara di wilayah yang dikepung itu.

Rejim Zionis turut mengisytiharkan penduduk yang enggan berpindah sebagai berkomplot dengan Hamas dan berpotensi dibunuh.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, angka kematian penduduk Palestin di Gaza meningkat 8,525 orang termasuk 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu baru-baru ini menolak rayuan 120 negara untuk mengadakan gencatan senjata segera di Gaza. - Agensi