Geng Maliki diberkas, jual online komponen kenderaan curi

Ganti (kanan) melihat kenderaan yang berjaya dirampas.
Ganti (kanan) melihat kenderaan yang berjaya dirampas.
A
A
A

MACHANG - Kegiatan sepasang suami isteri dan dua rakannya yang menggunakan laman sosial Facebook dan aplikasi WhatApps sebagai 'kedai' menjual komponen kenderaan curi akhirnya tumpas selepas kesemua mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, keempat-empat suspek tersebut adalah ahli Geng Maliki yang berjaya diberkas melalui Op Lejang/Op Cegah Jenayah Bersepadu yang dijalankan baru-baru ini.

"Serbuan pertama kita lakukan di Kampung Pasir Golok, Ketereh dan berjaya menahan sepasang suami isteri berumur lingkungan 22 hingga 26 tahun.

"Polis turut merampas beberapa motosikal, rangka dan komponen motosikal yang ada di dalam rumah tersebut yang disyaki motosikal curi.

"Barang rampasan tersebut dipercayai hasil curi sejak Mac hingga mereka ditangkap November lalu," katanya.

Beliau berkata, susulan penahanan suami isteri itu, dalam serbuan kedua, seorang lelaki di Kampung Binjai Manis Ketereh dan seorang lagi di Kampung Mengketil, Pangkat Meleret, Machang berusia lingkungan 30 hingga 32 tahun ditahan.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek perempuan dipercayai berperanan sebagai peniaga manakala suaminya dan dua rakannya bertindak sebagai pencari barangan curi itu.

"Hasil siasatan pihaknya turut mendapati tiga suspek lelaki tersebut terlibat secara aktif dalam kes mencuri motosikal iaitu melibatkan lapan kes dan tiga kes lagi adalah melibatkan kenderaan jenis pacuan empat roda.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, suspek utama juga mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes rompakan berkumpulan, mencuri motosikal dan rogol.

"Ketiga-tiga suspek tersebut juga didapati positif dadah," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek lelaki tersebut telah dituduh di Mahkamah Majistret Machang pada 28 November di bawah Seksyen 379A, Seksyen 414 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan manakala suspek perempuan menjadi saksi pendakwaan.