JDT bawa pulang bekal selesa

Pemain JDT meraikan kemenangan selepas berjaya menjaringkan gol. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Pemain JDT meraikan kemenangan selepas berjaya menjaringkan gol. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

SEPERTI diramal, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah mengatasi Perak FC dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia apabila mencatat keputusan 4-1 di Stadium Perak di Ipoh pada Khamis.

Biarpun bermain di hadapan 21,613 penonton, sorakan penyokong gagal menterjemahkan keputusan memihak kepada Perak FC sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan kedua nanti.

Minit awal perlawanan menyaksikan pasukan pelawat lebih menguasai permainan dengan melancarkan beberapa gerakan ke arah pintu gol Perak FC.

Tanpa perlu menunggu lama, seawal minit ke-7, Oscar Arribas menjaringkan gol pertama perlawanan bagi meletakkan JDT di hadapan 1-0.

Berselang dua minit kemudian, Perak FC berpeluang menyamakan kedudukan menerusi tandukan Seo Seonung namun berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Gawang Perak FC bolos lagi pada minit ke-11 selepas Arif Aiman berjaya memperdaya penjaga gol Perak FC, Farhan Majid sekali gus menyaksikan kedudukan berubah 2-0.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil perlawanan, S Logeswaran kepada Sunday Afolabi pada minit ke-28 selepas mengasari pemain JDT, Bergson Da Silva.

Perak FC hampir menjaringkan gol menerusi percubaan Luka Milunovic namun kecemerlangan Syihan menyelamatkan pintu gol JDT dari dibolosi.

Artikel Berkaitan:

Wan Zack Haikal pula menjadi pemain kedua Perak FC yang dilayangkan kad kuning kerana mempersoalkan keputusan pengadil.

Ketika separuh masa pertama hampir berakhir, berlaku aksi panas di dalam padang melibatkan beberapa pemain kedua-dua pasukan menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan seketika sebelum pemain JDT, Arif Aiman dan kapten Perak FC, Luciano Guaycochea dilayangkan kad kuning.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan kedudukan kekal memihak kepada JDT yang mendahului tuan rumah 0-2.

Bersambung babak kedua, Perak FC membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Farris Izdiham dan mengeluarkan Luka Milunovic.

JDT juga turut membuat pertukaran pemain apabila Matthew Davies dikeluarkan dengan diganti oleh Shahrul Saad.

Perak FC terus ketinggalan pada minit ke-70 apabila pemain gantian JDT, Shahrul Saad menanduk masuk bola ke gawang pasukan lawan sekaligus mengubah keputusan menjadi 3-0.

Kedudukan semasa berubah 3-1 pada minit ke-76, apabila Perak FC berjaya menjaringkan gol menerusi Guaycochea yang menyambut hantaran Wan Zack Haikal.

Sementara itu, pasukan pelawat terus menambah derita Perak FC apabila memperoleh gol keempat mereka menerusi jaringan pemain gantian JDT, Nazmi Faiz.

Keputusan 1-4 kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan JDT memperoleh bekalan selesa sebelum menanti kunjungan Perak FC di Larkin pada 2 November depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!