Lelaki seludup arak lebih RM700,000 ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MUAR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai melibatkan rampasan bernilai RM737,295.54 di sebuah stor di Jalan Sengkang, Pagoh di sini, pada 23 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerusi Op Kontraban, pada kira-kira jam 10 pagi.

"Ketika serbuan, sebanyak 859 kotak arak pelbagai jenama ditemukan di dalam premis terbabit, turut dirampas sebuah lori milik suspek yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu dan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan cukai arak terbabit adalah RM1.3 juta.

"Selain menjadikan premis kilang lama sebagai stor simpanan, suspek turut menghantar sendiri arak ke alamat yang diperoleh dan siasatan awal mendapati dia baru tiga minggu menjalankan kegiatan ini," katanya pada sidang akhbar di IPD Muar pada Selasa.

Raiz Mukhliz berkata, suspek yang tidak mempunyai kesalahan lampau itu mendapatkan bekalan minuman keras dari negara jiran dan menghantar kepada pelanggan di sekitar Muar serta daerah berhampiran selain negeri berjiran dengan Johor.

Katanya, polis masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: