PRN: Mahdzir buat ‘comeback’, muka baharu saingan Sanusi di Jeneri

Mahdzir (empat dari kiri) bersama calon BN Kedah yang diumumkan pada Jumaat di ibu negara.
Mahdzir (empat dari kiri) bersama calon BN Kedah yang diumumkan pada Jumaat di ibu negara.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengetuai calon BN untuk bertanding di 15 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

Mahdzir yang turut disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kedah bagi pakatan BN dan Pakatan Harapan (PH) akan kembali bertanding di kerusi DUN Pedu.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu pada 2004 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Dalam PRU15 lalu, Mahdzir gagal mempertahankan kerusi disandangnya di Parlimen Padang Terap. Kemunculan beliau bertanding kerusi DUN menguatkan lagi desas-desus Mahdzir bakal mencipta sejarah dilantik kali kedua sebagai Menteri Besar selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sekiranya gabungan itu berjaya merampas Kedah.

Calon BN Kedah yang bakal berentap pada 12 Ogos depan turut mengetengahkan sekurang-kurangnya 10 muka baharu, termasuk lima wanita.

Secara keseluruhannya, calon PRN kali ini lebih segar dengan wajah-wajah calon muda yang digabungkan dengan orang lama berpengalaman dalam parti bagi mengukuhkan lagi saingan.

Untuk kerusi ‘panas’ DUN Jeneri, Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim bakal berdepan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang akan mempertahankan kerusi disandangnya.

Empat lagi muka baharu yang dipertaruhkan, termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Hayazi Azizan di DUN Ayer Hitam; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad (Bukit Kayu Hitam); Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Mohamad Fadzil Zolkipli (Sungai Tiang) serta Naib Ketua UMNO Bahagian Jerai, Abdul Paris Abdul Hamid (Guar Chempedak).

BN Kedah turut membariskan lima calon daripada sayap Wanita dan Puteri untuk memberikan saingan dalam misi PRN menawan kembali Kedah.

Mereka terdiri daripada Hisham Suhaily Othman di DUN Ayer Hangat, Datin Nor Hasita Md Isa (Anak Bukit), Wan Mohalina Wan Mohamad (Pantai Merdeka), Suriati Che Mid (Kupang) dan Ketua Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff di Bandar Baharu.

Dua penyandang yang menyumbang kepada dua kerusi BN dalam DUN Kedah, iaitu bekas ADUN Sungai Tiang selama empat penggal, Datuk Suraya Yaakob dan Datuk Nor Sabrina Mohd Nor yang menang dua penggal di Bandar Baharu tidak dicalonkan semula.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang digantikan Timbalannya, Mohamad Fadzil sementara Nor Sabrina digantikan dengan Nuraini.

Orang lama yang dikenali dalam parti turut menjadi taruhan BN untuk memberi saingan sengit selain Mahdzir.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan di DUN Bukit Lada; Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib (Merbau Pulas) dan Datuk Ishak Mat (Bayu).

Senarai 14 calon BN Kedah itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di ibu negara pada Jumaat, biar pun jumlah kerusi ditandingi parti itu adalah 15 kerusi DUN.

Calon bagi DUN Tanjung Dawai dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat. Difahamkan, kerusi berkenaan masih dalam rundingan berhubung pemilihan pemimpin yang bakal diketengahkan sebagai calon.

Kedah memiliki 36 kerusi DUN untuk direbut dalam PRN negeri dengan 21 kerusi akan ditandingi oleh komponen PH.

Gabungan PH-BN bergandingan buat kali pertama sebagai rakan politik selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Kesepakatan gabungan itu selari dengan kempen ‘kalih bagi sama’ dalam misi merampas Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Pas, yang menguasai 20 kerusi sebelum pembubaran DUN pada 28 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, diikuti 8 Ogos sebagai hari pengundian awal dan 12 Ogos hari pengundian.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) dikeluarkan SPR, jumlah pengundi berdaftar di Kedah sebanyak 1,585,085.

Sementara kumpulan pengundi muda bagi had umur 18 hingga 20 tahun di negeri ini sebanyak 104,284 pengundi.