Stor haram simpan 10,000 liter diesel diserbu

Sepasukan penguat kuasa KPDN Kedah menyerbu sebuah stor haram tanpa nombor di Kawasan Perindustrian Bukit kayu Hitam, dekat sini, pada Isnin.
Sepasukan penguat kuasa KPDN Kedah menyerbu sebuah stor haram tanpa nombor di Kawasan Perindustrian Bukit kayu Hitam, dekat sini, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah stor haram tanpa nombor di Kawasan Perindustrian Bukit kayu Hitam dekat sini pada Isnin.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu dilakukan sepasukan penguat kuasa KPDN Kedah dan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, hasil serbuan menemui sebuah lori dengan tangki tambahan berisi cecair yang disyaki minyak diesel.

"Semasa serbuan dijalankan pekerja dan pemandu lori berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran.

"Pasukan penguat kuasa seterusnya bertindak menyita lori berkenaan berserta cecair disyaki diesel dianggarkan berjumlah 10,000 liter dengan anggaran nilai rampasan diesel sebanyak RM21,500 dan dua unit tangki intermediate bulk container (IBC)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Affendi memaklumkan, nilai rampasan barang kes lain dianggarkan berjumlah RM43,400 menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM64,900.

Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, risikan yang dijalankan hampir seminggu mendapati stor tersebut dijadikan lokasi bagi kenderaan bernombor pendaftaran Thailand datang mengisi diesel untuk diseludup ke negara asal.

Sehubungan itu, tambah Affendi lagi, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan: