5 pemancing warga Indonesia hanyut dihantar pulang

Lima warga Indonesia yang hanyut sejak 6 Oktober lalu diselamatkan dan dihantar pulang. - Foto Maritim Malaysia Johor
Lima warga Indonesia yang hanyut sejak 6 Oktober lalu diselamatkan dan dihantar pulang. - Foto Maritim Malaysia Johor
A
A
A

PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menghantar pulang lima warga Indonesia yang dipercayai hanyut di Tanjung Piai pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata. kelima-lima lelaki berusia antara 21 hingga 48 tahun itu dipercayai hanyut sejak 6 Oktober lalu setelah bot pancing yang dinaiki karam akibat dipukul ombak besar di perairan Tanjung Balai Karimun.

“Pihak Maritim Malaysia telah melaksanakan misi menghantar pulang lima warga Indonesia yang hanyut pada 6 Oktober lalu di Tanjung Piai.

“Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia menggunakan kapal KN SAR Purworejo 101.

Nurul Hizam (kanan) bersama Slamet ketika menyerahkan kesemua mangsa di atas kapal KN SAR Purwojero 101 milik Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), pada petang Isnin. - Foto Maritim Malaysia Johor
Nurul Hizam (kanan) bersama Slamet ketika menyerahkan kesemua mangsa di atas kapal KN SAR Purwojero 101 milik Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), pada petang Isnin. - Foto Maritim Malaysia Johor

“Proses penyerahan berjalan lancar dan ia turut dihadiri Kepala Kantor SAR Tanjung Pinan, Bapak Slamet Riyadi dan disaksikan wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Bapak Jati Heri Winarto,” katanya.

Penyerahan kesemua mangsa dilaksanakan dengan menaiki dua bot ronda Maritim Malaysia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada kedudukan 4.1 batu nautika barat daya Pulau Kukup.

Proses penyerahan kesemua mangsa bermula jam 3 petang dan selesai sekitar 4 petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihak Maritim Malaysia berharap agar semua komuniti maritim mengambil perhatian dalam soal keselamatan ketika berada di laut.

Pihak Maritim Malaysia turut mengingatkan bahawa soal keselamatan di laut dilihat penting terutamanya menjelang musim monsun timur laut yang telah tiba ketika ini.