Warga emas tinggal sehelai sepinggang

Rumah yang didiami warga emas, Che Putih Mat Isa,70, bersama cucunya hangus.
Rumah yang didiami warga emas, Che Putih Mat Isa,70, bersama cucunya hangus.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang warga emas yang baru kematian suami tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Guar, Langgar, di sini hari ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, api dipercayai menyambar dapur rumah didiami Che Putih Mat Isa,70, bersama cucunya sebelum merebak ke bahagian lain.

Anak lelakinya, Md Zaki Abdul Hamid,42, berkata, dia yang tinggal kira-kira 100 meter (m) dari rumah ibunya terdengar letupan kuat dari kediaman itu sebelum berlari menyelamatkan ibunya.

"Alhamdulillah saya bersyukur dapat menyelamatkan ibu dengan anak saya. Cuma kami sedih kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting kerana api sangat marak," katanya.

Md Zaki berkata, ibunya hanya sempat mengambil kad pengenalan diri sementara dokumen lain termasuk geran rumah musnah dalam kebakaran.

Sebuah rumah musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Guar, Langgar, di sini hari ini.
Sebuah rumah musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Guar, Langgar, di sini hari ini.

"Ini dugaan bertimpa untuk kami selepas bapa meninggal lebih kurang empat bulan lepas," katanya.

Justeru, Md Zaki berharap ada yang sudi membantu membina semula kediaman untuk ibunya berteduh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan BBP Alor Setar dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jalan Kundur bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.56 pagi.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian didapati rumah dua tingkat kelas B terbakar dengan kemusnahan sebanyak 90 peratus.

Menurutnya, punca sebenar kebakaran akan dimaklumkan selepas siasatan siap sepenuhnya.