Dua remaja 14 tahun ditahan kes pecah rumah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NILAI - Dua remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Semarak di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 27 tahun pada jam 10.34 malam.

"Pengadu menyatakan semasa dia berada di rumah pada 7.30 malam telah terima maklumat melalui aplikasi WhatsApp bahawa terdapat individu yang telah pecah masuk rumah jirannya di tingkat atas.

"Pada jam 8.30 malam, pengadu telah pergi ke rumah jirannya untuk melihat keadaan dan mendapati wayar kabel rumah jirannya telah dicabut dari siling," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pengadu yang membuat pemeriksaan lanjut di lokasi telah menemui kedua-dua suspek yang kemudian mengaku melakukan perkara tersebut.

Beliau berkata, susulan dari itu pengadu telah menghubungi polis yang kemudian ke lokasi bagi menahan suspek.

"Pihak polis tiba di tempat kejadian jam 9 malam dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan akhir tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, masyarakat dinasihatkan membuat pemantauan ke atas anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kejadian jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!