Dua MPA kesan kapal selam dalam proses perolehan

Mohamad merangkap Ahli Parlimen Rembau ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mohamad merangkap Ahli Parlimen Rembau ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan kini dalam proses perolehan dua pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dari Itali yang mempunyai keupayaan untuk mengesan keberadaan kapal selam dalam kawasan Laut China Selatan khususnya di Wilayah Sabah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berikutan radar jarak jauh (LRR) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Tentera Laut Labuan tidak dapat mengesan kapal selam dan hanya untuk meninjau ruang udara yang kini lebih menghala perairan Laut China Selatan yang menjadi ‘sibuk’ sejak kebelakangan ini.

"Kita juga dalam proses perolehan dan telah diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperoleh satu lagi LRR yang kita akan letakkan di kawasan Pulau Layang-layang kerana di kawasan Labuan, ia tidak boleh nampak jauh.

"Jadi, kita perlukan satu lagi radar untuk diletakkan di Pulau Layang-layang untuk kita melihat lebih jauh lagi supaya ia dapat menjangkau di luar kawasan EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) kita,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai keupayaan LRR di Pangkalan Udara Tentera Laut Labuan.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, Radar Coastal Surveillance System (CSS) telah diletakkan di 13 lokasi penempatan yang meliputi persisiran Kudat sehingga ke Tawau bagi mengawasi pesisir Pantai Timur Sabah.

"Pada masa ini, terdapat lapan radar yang baru sahaja selesai menjalani kerja-kerja naik taraf pada 16 Sept lepas yang melibatkan Radar CSS 1206.

"Bagaimanapun, terdapat lima Radar CSS AESA SPEXER 2000 telah mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua peralatan Radar CSS AESA SPEXER 2000 itu telah ditanggalkan untuk proses pelupusan.

"Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti keperluan bagi menutup sepenuhnya kelompongan di kawasan itu dengan melaksanakan perolehan sebanyak enam buah (5 penggantian dan 1 penambahan) radar gap filler yang baharu,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan bagi perolehan enam radar itu adalah RM57 juta yang akan diperoleh dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). - Bernama