Beku akaun: Mahkamah benarkan Bersatu mula semakan kehakiman

Bersatu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.
Bersatu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya dalam permohonan keduanya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dua akaunnya.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian ketika prosiding diadakan secara dalam talian.

Beliau berkata, mahkamah juga akan mendengar merit permohonan berkenaan dan ia boleh dihujahkan melalui prosiding semakan kehakiman.

Ketika membaca keputusan penghakiman, hakim berkenaan berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan Bersatu selaku pemohon bahawa isu yang dibangkitkan tidak remeh.

Dalam prosiding lalu, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) menghujahkan bahawa, kuasa siasatan jenayah tidak tertakluk kepada prosiding di mahkamah.

"Sebaliknya AGC menyatakan, ia bergantung kepada autoriti kes yang pernah diputuskan di mahkamah sebelum ini.

"Bagaimanapun, autoriti kes berkenaan yang dihujahkan AGC bukan lagi prinsip perundangan yang baik untuk diguna pakai dalam permohonan ini," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 November depan untuk pengurusan kes semakan kehakiman kedua ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Mei lalu, pegawai awam Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya memfailkan permohonan itu bagi mencabar tindakan SPRM yang membekukan akaun banknya untuk suatu siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Katanya, SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh tersebut.

Sebelum ini, pada Mac lalu, Bersatu memfailkan permohonan semakan kehakiman pertama, berhubung isu sama.

Pada 30 Mei lalu, Bersatu berjaya dalam permohonan itu selepas mahkamah memutuskan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bukan satu permohonan yang remeh dan menyusahkan.